Hijaukan bumi Sarawak

MENANAM ANAK POKOK… Datu Len Talif Salleh menanam anak pokok sempena Sambutan Hari Inovasi Perkhidmatan Awam Sarawak, Jabatan Hutan Sarawak 2021, di Sarikei baru-baru ini.

SARIKEI: Kerajaan Sarawak telah mengangkat program restorasi landskap hutan sebagai agenda utama untuk menghijaukan bumi Sarawak.

Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datu Len Talif Salleh berkata, perkara tersebut telah dimaklumkan oleh Yang Amat Berhormat (YAB) Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg semasa melancarkan program restorasi pada Jun 2019 yang lalu.

“Sebagai sokongan, dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), Kerajaan Sarawak telah memperuntukkan sebanyak RM62 juta kepada Jabatan Hutan Sarawak untuk melaksanakan semua aktiviti yang telah dirancang di seluruh negeri bagi program restorasi dan penanaman pokok ini.

“Pada tahun ini, sebanyak RM10 juta telah pun disalurkan,” katanya ketika berucap di Majlis Pelancaran Program Le Tour De Restoration Greening Sarawak’s Campaign Peringkat Wilayah Sarikei di Dewan Masyarakat Kampung Seberang Sarikei pada Khamis lalu.

Dalam pada itu katanya, Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Tenaga dan Sumber Asli Malaysia (KeTSA) turut menyalurkan peruntukan sebanyak RM10.37 juta iaitu RM4 juta bagi Program Penghijauan Malaysia melalui Kempen Penanaman 100 Juta Pokok dan RM6.37 juta lagi bagi melaksanakan Program Tanaman Bakau dan Program Restorasi Melalui Perhutanan Sosial (SOSIL) kepada Jabatan Hutan Sarawak pada tahun ini.

“Sebagai sokongan kepada pelaksanaan Kempen Program Penghijauan Malaysia yang telah dirasmikan Perdana Menteri pada bulan Januari tahun ini, Kerajaan Sarawak melalui Jabatan Hutan Sarawak menyasarkan untuk menanam sebanyak 35 juta pokok bagi tempoh lima tahun bermula tahun ini 2021 sehingga tahun 2025.

“Ini bermakna, kita perlu menanam sekurang-kurangnya tujuh juta pokok setiap tahun.

“Kita optimis dapat mencapai sasaran penanaman ini. Sebagai rekod pada tahun lepas 2020, kita telah berjaya menanam sebanyak 10,452,607 pokok. Untuk tahun 2021 ini, sehingga hari ini (7 Oktober 2021), sebanyak 6.78 juta pokok telah pun ditanam di seluruh Sarawak,” ujarnya.

Len Talif yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang berkata, bagi memastikan program restorasi mencapai matlamat yang ditetapkan, elemen penyelidikan dan pembangunan (R&D) perlu diperkasakan.

“Saya berbesar hati mengucapkan tahniah kepada Jabatan Hutan Sarawak kerana telah mengilham dan mengetengahkan projek yang dikenali sebagai “Seed Ball”.

“Penghasilan “seed ball” dilihat amat bertepatan kerana ia dapat memudahkan aktiviti penanaman pokok termasuklah di kawasan-kawasan yang sukar dimasuki seperti kawasan-kawasan yang berbukit.

“Saya dimaklumkan, setiap “seed ball” yang dihasilkan akan disalutkan dengan biji benih pokok spesies tempatan yang bernilai tinggi dan ia boleh mencapai kadar percambahan sehingga 90 peratus selepas 7 hingga 14 hari ditabur. Kos penyediaan “seed ball” juga jauh lebih murah berbanding dengan kaedah yang lain,” katanya lagi.

Oleh itu katanya, beliau menyarankan semua agensi perhutanan dan pihak-pihak yang berkepentingan  bekerjasama bagi memperkasakan inisiatif R&D terutama bagi mengenalpasti spesies pokok tempatan  berkualiti tinggi, mempunyai kadar pertumbuhan pantas dan tahan terhadap serangan penyakit dan serangga perosak untuk menyokong perlaksanaan Kempen “Greening Sarawak”.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Hutan Sarawak, Datu Hamden Mohamad dan Timbalan Residen Sarikei, Abang Porkan Abang Budiman.