Pantai air papan di Mersing kembali meriah

PANTAI Air Papan, Mersing kembali meriah dengan kehadiran pengunjung beriadah selepas beberapa bulan sepi akibat pandemik Covid-19. • Foto BERNAMA

MERSING: Pantai Air Papan yang terletak kira-kira lapan kilometer dari bandar Mersing kembali meriah dengan kehadiran pengunjung beriadah, selepas sekian lama sepi akibat pandemik Covid-19.

Selain seronok dapat mandi-manda di pantai, orang ramai juga dilihat tidak melepaskan peluang membeli buah tangan untuk dibawa pulang, sekali gus memberi manfaat kepada peniaga di sekitar pantai berkenaan. 

Salah seorang pengunjung Rosazizad Idris, 54, berkata, dia dan keluarganya memilih bercuti di pantai itu  kerana lokasinya yang dekat dengan pelbagai kemudahan termasuk chalet, gerai makan dan tempat menjual cenderamata. 

“Saya mencadangkan agar diletakkan pondok PBT (pihak berkuasa tempatan) di pintu masuk pantai yang menyediakan kemudahan imbasan suhu dan pendaftaran MySejahtera, untuk tujuan pemantauan sekali gus mengelak penularan Covid-19,” katanya, ketika ditemui Bernama baru-baru ini. 

Rosazizad yang tinggal di Segamat berkata, ini juga bagi memastikan keadaan di kawasan pantai itu lebih terkawal, selain inisiatif daripada pengunjung sendiri untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan, seperti pemakaian pelitup muka dan penjagaan jarak.

Seorang lagi pengunjung Nur Shahida Syahira Muhd Syahril, 17, dari Simpang Renggam berkata pantai Air Papan sering menjadi pilihannya sekeluarga ketika bercuti, kerana kawasannya redup dan berpokok selain jarak yang tidak terlalu jauh, kira-kira sejam setengah perjalanan dari rumahnya.

Anak sulung daripada lima beradik itu berkata, mereka menyewa di chalet berhampiran dan melakukan pelbagai aktiviti seperti BBQ, memancing serta mandi-manda di pantai, di samping membeli ole-ole wajib iaitu keropok lekor.

“Dah lebih setahun tak datang sini, rasa teruja dan gembira sangat setelah beberapa bulan ‘terkurung’. Kunjungan ke pantai ini sedikit sebanyak dapat mengurangkan tekanan PdPR (pengajaran dan pembelajaran di rumah) dengan menghirup udara segar,” katanya, yang sudah menerima satu dos vaksin Covid-19.

Dia berkata, mereka sekeluarga mengamalkan SOP yang ketat dengan memakai pelitup muka apabila keluar dan hanya berkumpul bersama keluarga serta mengelak tempat tumpuan ramai.

Sementara itu, seorang peniaga yang hanya ingin dikenali sebagai Siti, 44, berkata dia kini mampu menarik nafas lega apabila perniagaan kembali rancak selepas Johor beralih ke Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN), bermula 24 Sept lepas. 

— Bernama