Kekalkan warisan pulut tetal

PENGUSAHA Pulut Tetal Nyonya Zubaida,Rosmawati Abdul Ghani, 48, memotong dan menyusun pulut tetal atau pulut tai tai. •Foto BERNAMA

TERDAPAT 213 makanan Malaysia yang disenaraikan sebagai warisan kebangsaan (kategori warisan tidak ketara) termasuk nasi lemak, roti canai dan teh tarik. 

Turut tersenarai adalah pulut tetal atau pulut tai tai, makanan warisan masyarakat Baba dan Nyonya, yang bertapak di bumi Melaka sejak kira-kira 600 tahun lalu.

Hidangan pencuci mulut yang berasaskan pulut, berwarna biru nila dan putih ini turut dikenali sebagai pulut tekan, disenaraikan sebagai warisan kebangsaan pada tahun 2012 bersama makanan Baba dan Nyonya lain termasuk bubur cha-cha, popia serta pie tee.

Namun apabila diajukan soalan tentang makanan pencuci mulut ini, ramai dalam kalangan masyarakat berkenaan tidak tahu.

Jabatan Warisan Negara menerusi satu catatannya di akaun laman sosial pada tahun 2020 turut memaklumkan bahawa pulut tetal atau pulut tekan adalah makanan warisan yang hampir pupus.

PULUT TETAL NYONYA ZUBAIDAH

Kesedaran untuk mengelakkan pulut tetal daripada terus pupus mendorong Rosmawati Abdul Ghani, 48, yang berasal dari Taiping, Perak untuk mengusahakan perniagaan makanan warisan itu.

Berkongsi detik awal perniagaannya, beliau yang ditemu bual Bernama di rumahnya di Bukit Jelutong, Selangor berkata, semuanya bermula pada Aidilfitri tahun 2020, apabila beliau cuba menghasilkan sendiri makanan kegemaran suaminya, Azman Mohd Yusoff, 59, yang berketurunan Baba Nyonya di sebelah ibu.

Menurut Rosmawati, pulut tetal bersama rendang atau asam pedas adalah juadah wajib setiap kali beraya bersama keluarga suami di kampung halamannya di Tengkera, Melaka.

Memandangkan pada tahun 2020 kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan dan tidak dapat merentas negeri untuk ke Melaka, beliau cuba memasak sendiri juadah berkenaan.

“Saya cuba menghasilkan pulut tetal selepas suami memberitahu dia rindukan makanan yang menjadi hidangan wajib keluarganya. Alhamdulillah, suami saya berpuas hati dengan pulut tetal yang saya masak, ” katanya.

Reaksi positif suaminya itu menjadi motivasi untuk beliau memasak pencuci mulut berkenaan. Setelah mencuba beberapa kali untuk memperbaiki mutu rasa, maka pada penghujung 2020, lahirlah Pulut Tetal Nyonya Zubaidah.

Rosmawati memilih nama Nyonya Zubaidah kerana ia adalah nama ibu mentuanya, Zubaidah Taib yang meninggal dunia sebelum beliau berkahwin dengan suaminya pada tahun 2006.

“Menu asal pulut ini dimakan dengan seri kaya. Hidangan pulut tetal bersama asam pedas daging adalah kebiasaan bagi keluarga suami dan dikekalkan oleh Pulut Tetal Nyonya Zubaidah.

Pelanggan boleh memilih untuk memesan pulut bersama asam pedas, seri kaya pandan atau serawa durian mengikut selera masing-masing,” kata beliau.

Selain menjadi menu utama di Hari Raya, keluarga mentuanya turut menjadikan pulut tetal sebagai hidangan wajib majlis malam berinai.

GAMIT MEMORI ZAMAN SEKOLAH

Ketika penulis berkongsi gambar Pulut Tetal Nyonya Zubaidah dengan bekas wartawan Norliza Abdul Rahman, 47, anak jati Umbai, Melaka ini, beliau berkata, makanan itu asing baginya.

Apabila penulis menjelaskan, ia adalah makanan warisan dari negeri kelahirannya, dan ia juga dikenali sebagai pulut tekan, baharulah beliau berkata, kali akhir menikmati makanan itu semasa di sekolah rendah.

Sejurus mendapat tahu tentang Pulut Tetal Nyonya Zubaidah, Norliza terus membuat pesanan untuk ketiga-tiga jenis hidangan iaitu asam pedas daging, seri kaya pandan dan serawa durian supaya boleh menikmati makanan warisan itu sehingga puas.

Norliza yang ditemui Bernama di kediamannya di Kajang berkata, ketika zaman kanak-kanak, beliau sering menikmati pulut tetal bersama seri kaya.

“Pulut tetal yang saya nikmati ketika kecil bukan keluarga saya yang masak kerana proses memasaknya rumit dan panjang. Tidak silap saya ia dibawa dari majlis tertentu. Selepas habis sekolah dan meninggalkan Melaka, saya tidak pernah berpeluang merasa pulut tetal sehingga hari ini. Lebih menarik, hari ini saya berpeluang menikmatinya bersama asam pedas ,” katanya.

Norliza menyifatkan Pulut Tetal yang dihidangkan bersama asam pedas menambah nilai ‘Melaka’ kepada makanan tersebut.

Suami beliau, Nik Mansor Nik Mat, 52 yang berasal dari Kelantan dan empat anak mereka berusia 20-an hingga 11 tahun turut mencuba juadah berkenaan. Norliza turut mempelawa dua sahabatnya yang berasal dari Perlis dan Pulau Pinang untuk mencuba makanan berkenaan.