Malaysia pamer pencapaian baik dalam pembangunan indikator SDG

Sebagai focal point dalam pengembangan indikator SDG negara, DoSM akan terus menyokong SDG dengan menghasilkan statistik atau perangkaan yang lebih terperinci
dan tepat pada masanya untuk mencapai agenda global 2030. Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin

KUALA LUMPUR: Malaysia menunjukkan pencapaian baik dalam pembangunan indikator Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) dengan 52 peratus indikator tersedia pada 2019 berbanding 41 peratus pada 2018, demikian menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM).

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, sebagai focal point dalam pengembangan indikator SDG negara, DoSM akan terus menyokong SDG dengan menghasilkan statistik atau perangkaan yang lebih terperinci dan tepat pada masanya untuk mencapai agenda global 2030.

Beliau berkata demikian pada Forum Data Dunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 2021 (UNWDF 2021) sebagai ahli panel dengan topik “Developing National SDG Indicators – What Is The Data Situation For Leaving No One Behind.”

UNWDF 2021 dihoskan oleh Swiss Confederation bermula  3 hingga 6 Oktober 2021 di Bern, Switzerland dan acara itu diadakan dua tahun sekali.

Acara ini menghimpunkan pakar dan pengguna data dan statistik dari pihak kerajaan, masyarakat awam, sektor swasta, agensi antarabangsa dan serantau, ahli akademik dan badan profesional untuk membincangkan peluang dan cabaran serta mempamerkan inovasi terkini bagi meningkatkan data dan statistik untuk  Agenda Pembangunan Lestari 2030.

Seramai 7,626 peserta mendaftar secara dalam talian untuk memacu inovasi data dan memupuk usaha kolektif  data tanpa meninggalkan sesiapapun, dengan 668 hadir di Bern sementara 230 ahli perangkawan DoSM mendapat manfaat dengan menghadiri forum secara jarak jauh (remotely).

Pada acara berkenaan, DoSM turut menganjurkan sesi dengan topik “Re-strategising Labour Market Data Collection, Analysis and Dissemination in Times of Crisis (Understanding the world through data)” bertujuan mendapatkan pandangan mengenai tindak balas dan reaksi pejabat dan sistem statistik kebangsaan.

Pada akhir sesi, negara tuan rumah telah mengeluarkan pernyataan yang menyebut “Bern Data Compact for the Decade of Action on the Sustainable Development Goals’’ menyeru masyarakat antarabangsa dan kerajaan negara untuk memastikan semua komuniti bekerjasama dalam ekosistem data untuk mendapatkan lebih banyak aspek yang berkaitan Agenda 2030.

UNWDF berikutnya akan dihoskan oleh China pada 2023 dan Colombia pada tahun 2025.

– Bernama