Sarawak Utd sambung sesi latihan

SKUAD Sarawak United akan menyambung semula sesi latihan berpasukan dalam beberapa hari lagi.

SKUAD Sarawak United FC dijangka akan kembali ke kem latihan dalam masa terdekat sebagai persediaan mengharungi baki perlawanan TM Piala Malaysia 2021.

Penolong Pengurus Sarawak United, Abang Suhordie Abang Zaini berkata ia adalah sebagai persiapan menghadapi Kuala Lumpur City FC yang akan berlangsung pada 30 Oktober ini.

“Selepas pemain diberi cuti rehat selama seminggu untuk tujuan balik ke kampung masing-masing, kini mereka telah diarahkan untuk kembali semula ke kem latihan Sarawak United bagi meneruskan latihan untuk persiapan menentang Kuala Lumpur City penghujung bulan nanti.

“Saya harap apabila mereka kembali menjalani latihan nanti, komitmen dan persefahaman meningkat dalam usaha memperkasakan pasukan bagi misi utama untuk layak ke pusingan seterusnya,” katanya kepada Utusan Sarawak semalam.

Abang Suhordie berkata selama tempoh seminggu cuti rehat sebelum ini, skuad kendalian E Elavarasan tidak duduk diam begitu sahaja, sebaliknya mereka tetap ada tugasan dan melaksana rutin seperti biasa mengadakan latihan secara kendiri di tempat masing-masing.

“Sepanjang cuti rehat pemain, mereka tetap berlatih tetapi dengan menggunakan pendekatan secara maya bagi memastikan kecergasan pemain sentiasa berada ditahap terbaik,” ujarnya.

Katanya, ada baki empat perlawanan untuk pasukan Sarawak United selepas ini, setelah mengharungi dua perlawanan sebelum ini menentang Penang FC dan Sri Pahang FC.

Meskipun mereka melakar kejutan menewaskan dua pasukan yang berada dalam saingan Liga Super, beliau menganggap setiap lawan adalah berbeza dan apa sahaja boleh berlaku dalam perlawanan akan datang apatah lagi mereka hadir sebagai satu-satunya pasukan dari Liga Premier dalam kumpulan A.

Tetapi, Abang Suhordie tetap berbangga dengan usaha barisan pemain bagi memastikan permulaan yang cukup positif untuk mereka meraih mata penuh dalam dua aksi terbabit dan bersedia dengan motivasi baharu untuk berdepan Kuala Lumpur City, penghujung bulan Oktober ini.

Sarawak United kini gah menghuni tangga teratas Kumpulan A, menggumpul 6 mata selepas cemerlang mencatat kemenangan pada dua perlawanan dilalui setakat ini.

Oleh ADI SAFARMAN