JIKA DIPERKENAN AGONG

PENJELASAN …Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah menjawab soalan semasa mengadakan sidang media di Kuching, semalam.

KUCHING: Ordinan Darurat di Sarawak boleh ditamatkan lebih awal sebelum Februari 2022 bergantung kepada budi bicara Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, untuk tujuan itu, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg perlu menasihati Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud untuk berunding dengan Yang di-Pertuan Agong.

Katanya, Sarawak sepatutnya mengadakan Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12) dalam 60 hari berikutan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) secara automatik pada 6 Jun lalu namun disebabkan Ordinan Darurat, pentadbiran Sarawak pada masa ini dapat memerintah berdasarkan ‘masa yang dipinjamkan’.

“Saya percaya, rakyat sudah pasti tidak gembira dengan perkara tersebut dan justeru itu, kita perlu memberikan semula mandat kepada rakyat dengan secepat yang mungkin untuk mereka gunakan hak yang sepatutnya,” tegasnya pada sidang media setelah upacara Flag Off DayakDaily’s D’ Drift di sini, semalam.

Dalam pada itu, beliau yang juga Menteri Belia dan Sukan percaya perlaksanaan PRN-12 harus diadakan secepat mungkin tanpa perlu menunggu penguatkuasaan Undi18.

Karim turut yakin pelaksanaan undi tersebut akan dilaksanakan tepat pada waktunya bagi membolehkan mereka yang berusia 18 hingga 21 tahun dapat mengundi pada PRN akan datang.

“Pada masa ini, pendaftaran automatik belia berusia 18 tahun sebagai pengundi sedang berlangsung malah saya juga telah memeriksa anak saya yang berusia 18 tahun dan namanya sudah ada di dalam daftar pemilih.

 “Yang menjadi persoalannya sekarang adalah bila Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mewartakan tarikh pelaksanaannya sahaja,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Karim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya, mendedahkan bahawa terdapat peningkatan lebih daripada 5,000 pengundi di kawasannya.  

Bagaimanapun beliau mengatakan bahawa tidak terganggu jika Undi18 berlaku menjelang PRN-12 kerana PRM Sarawak perlu diadakan cepat atau lambat.  

Oleh SYAMIMI HUSNA