Surat CIMS tidak lagi diperlukan

PUTRAJAYA: Surat kebenaran operasi Sistem Pengurusan Pintar Covid-19 (CIMS) tidak lagi diperlukan bagi semua perniagaan dalam sektor perdagangan pengedaran di bawah seliaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Menterinya Dato Sri Alexander Nanta Linggi (gambar)berkata, ia susulan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam mengenai kebenaran individu yang sudah lengkap vaksinasi Covid-19 untuk melakukan pergerakan rentas negeri tanpa perlu mendapatkan kebenaran polis bermula hari ini.

Beliau bagaimanapun berkata, setiap sektor perniagaan masih tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) terutamanya bagi negeri di Fasa Dua dan Fasa Tiga PPN.

“Kebenaran merentas negeri ini dilihat sebagai satu lagi langkah positif kerajaan ke arah merancakkan pemulihan ekonomi negara terutama ekonomi domestik dan khususnya sektor pengedaran dan peruncitan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Sektor perdagangan pengedaran adalah antara aktiviti ekonomi utama dalam negara dan telah menyumbang sebanyak 16 peratus  kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) atau RM311.6 bilion nilai jualan pada suku kedua 2021, katanya.

Nanta berkata, penguat kuasa KPDNHEP akan meneruskan pemeriksaan dan penguatkuasaan pematuhan SOP menerusi Ops Samar iaitu melalui penyamaran (tanpa pakaian seragam) bagi memastikan premis perniagaan dan orang ramai mematuhi SOP yang ditetapkan.

CIMS merupakan pusat sehenti yang diuruskan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) untuk tujuan pengeluaran surat kebenaran beroperasi dan pergerakan semasa pelaksanaan kawalan pergerakan bagi semua sektor industri yang dianggap sebagai perkhidmatan perlu. – Bernama