SOP perlu dinilai semula

KENANGAN… Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah (tiga, kanan), Ahli Lembaga Pengarah Dayak Daily, Cheng Lian Hock (te- ngah) dan yang lain bergambar bersama di hadapan pejabat Dayak Daily, Kuching. • Foto HERRIEY NAHA

KUCHING: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) digesa supaya menilai semula Prosedur Operasi Standard (SOP) kemasukan individu ke negeri ini terutama melibatkan permohonan melalui Entersarawak.

Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, SOP berkenaan perlu diperhalusi kerana ia boleh mempengaruhi kedatangan pelancong sekali gus memberi kesan terhadap industri pelancongan dan pemulihan ekonomi negeri.

Katanya, meskipun JPBN membenarkan individu lengkap dua dos vaksinasi Covid-19 memasuki negeri ini tanpa perlu mendapatkan kebenaran polis bermula semalam, masih ada beberapa syarat lain yang perlu diikuti seperti permohonan Entersarawak.

“Kita amat gembira dengan keputusan JPBN berhubung pemansuhan syarat permohonan permit polis berkenaan namun berhubung syarat lain iaitu permohonan melalui Entersarawak, saya tidak tidak melihat dasarnya (syarat untuk memasuki Sarawak). 

“Mengapa kita masih perlu mempunyai izin (syarat) lain untuk memasuki Sarawak sedangkan permit polis sudah dimansuhkan?, soalnya pada sidang media setelah upacara “Flag Off” DayakDaily’s D’Drift di sini, semalam.

Tambah beliau, Kerajaan Pusat juga  membenarkan pergerakan rentas negeri selain memansuhkan syarat kemasukkan melalui MyTravelPass Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) kepada semua rakyat di negara ini., Justeru, Karim berpendapat bahawa JPBN seharusnya mempertimbangkan syarat cukup individu yang telah lengkap menerima dua dos vaksin Covid-19 dan menunjukkan bukti vaksinasi dibenarkan memasuki negeri ini tanpa perlu penguatkuasaan SOP yang membebankan.

Katanya, bagi individu yang belum menerima vaksin atas faktor kesihatan juga perlu dibenarkan untuk memasuki Sarawak dengan syarat mereka perlu menunjukkan surat dari doktor yang membuktikan mengapa mereka tidak dibenarkan untuk divaksin.

“Selain itu, saya turut berharap agar JPBN dapat menaik taraf dan meningkatkan sistem perkhidmatan mereka bagi memudahkan urusan penduduk yang ingin masuk ke sini,” katanya.

Oleh SYAMIMI HUSNA