Epidemik zaman pemerintahan Brooke

DR SUFFIAN MANSOR

HARI ini menyaksikan seluruh dunia dilanda pandemik yang dicetuskan oleh penyakit Covid-19.  Fenomena ini berlaku sejak akhir tahun 2019 dan masih lagi tidak menunjukkan tanda-tanda untuk reda.

Dalam sejarah dunia, fenomena begitu juga berlaku dalam keadaan endemik dan epidemik.   Dalam Tamadun Greek pada tahun 430 Sebelum Masihi, telah berlaku satu wabak penyakit yang dikenali sebagai Plague of Athens.  Penyakit ini mempunyai simptom-simptom seperti demam, tompok-tompok pada kulit, muntah-muntah dan batuk.

Pada tahun 243 Sebelum Masihi pula, terdapatnya epidemik di seluruh empayar China.  Selepas itu, pada tahun 48 Sebelum Masihi, berlaku lagi epidemik di Honan, Shansi dan Shantung.

Lebih teruk daripada itu ialah pandemik, iaitu penyebaran jangkitan melepasi sempadan dan kadangkala melepasi benua.  Pandemik pertama di dunia muncul semasa zaman Rom yang dikenali sebagai Plague of Justinian (541-549 Sebelum Masihi).  Pandemik ini menyelubungi daripada lembah Mediterranean sehingga ke seluruh Eropah dan Timur Tengah.

Di Sarawak pula, kes-kes pandemik tidak berlaku.  Hanya beberapa wabak penyakit bersifat endemik dan epidemik sahaja yang berlaku.  Namun demikian, belum dijumpai lagi rekod mengaitkan wabak ini pada zaman sebelum kedatangan Brooke.

Kedatangan Brooke memberi sedikit sebanyak maklumat tentang penyakit dan wabak penyakit di Sarawak.  Antara penyakit yang sering dilaporkan termasuklah penyakit berkaitan dengan simptom pada kulit, iaitu cacar, cacar air dan campak.  Penyakit cacar ini pernah menyerang Raja James Brooke yang hampir membawa maut kepada dirinya.

Cacar, Cacar Air dan Campak

Sejarah wabak cacar pernah membawa kepada kebimbangan penduduk Sarawak. Pernah dicatat pada penghujung abad ke-19, cacar menjadi penyakit berbahaya di Mukah, Oya dan Dalat serta kawasan sekitarnya.

Penyakit berjangkit ini mula dikesan daripada seorang wanita dari Oya yang bermalam di Mukah.  Kehadiran beliau ini menyebabkan epidemik di Mukah yang merebak ke beberapa buah kampung seperti Kampung Teh dan Kampung Tellian. Wabak penyakit cacar ini semakin serius apabila mula merebak di kawasan hulu Sungai Mukah.

Walaupun penyakit ini dapat dikawal, tetapi masih menjadi penyakit yang sentiasa muncul dalam kalangan penduduk Sarawak.  Penyakit ini mengorbankan banyak nyawa seperti yang berlaku pada tahun 1926 di Long Lobang, Baram.  Di Rumah Panjang Narai Rang misalnya, korban akibat cacar ini berjumlah 40 orang.  Angka korban akibat penyakit ini di Rumah Panjang Balang Deng juga berjumlah 40 orang.  Di Rumah Panjang Tinggang pula, angka korban mencecah 70 orang. Pada 1927, berlaku wabak penyakit cacar ini di Miri. Penyakit cacar ini juga mula muncul di Rajang pada 1929, tetapi terkawal.  Jangkitan cacar ini dibawa oleh pesakit dari satu tempat ke satu tempat.  Pada tahun 1930, penumpang kapal dari Kapit dan Kanowit telah dikenal pasti membawa penyakit ini ke Sibu.

Kawasan yang terpencil tidak terkecuali daripada penyakit cacar ini seperti yang berlaku di beberapa buah kampung di Bau.  Kejadian yang berlaku pada 1928 itu melibatkan 34 orang dijangkiti dan 10 orang pula meninggal dunia.

Cacar air juga menjadi salah satu penyakit yang menghantui penduduk Sarawak kerana juga merupakan penyakit berjangkit. Beberapa buah tempat di Sarawak pernah dijangkiti oleh penyakit ini.  Pada 12 Mei 1936, seramai dua orang penduduk di Esingal, dan pada 4 Julai 1936  seramai tiga orang  di Kampung Kalaka, menghidap penyakit tersebut. Walaupun angka kes ini tidak banyak, langkah mengasingkan pesakit tetap dijalankan. Penyakit ini juga pernah melanda Kuching dan kawasan sekitarnya pada tahun 1937.  Seramai 41 orang dikesan menghidap penyakit tersebut pada tahun tersebut.  Sekolah juga tidak terlepas daripada jangkitan penyakit ini.  Hal ini berlaku di Sekolah Chung Wah, Engkelili. 

Salah satu lagi penyakit berjangkit yang muncul ialah campak.  Penyakit ini pernah dikesan pada 1926 di Katibas. Pada tahun yang sama, campak juga merebak ke berek polis di Miri, tetapi terkawal.  Namun demikian, ia menjadi wabak di Miri pada penghujung November 1927.  Sebanyak 14 kes telah dikesan dan ia berpunca daripada penumpang yang baru balik dari Kuching.  Sebelas daripada 14 kes itu ialah penumpang kapal tersebut. Seramai tiga orang telah meninggal dunia akibat penyakit ini. Di Balingian pada 1927 menunjukkan ramai kanak-kanak meninggal dunia akibat campak.

Radang Usus

Tercatat juga beberapa penyakit yang dikaitkan dengan bakteria daripada makanan.  Salah satu penyakit ini ialah disentari.  Penyakit ini menyebabkan radang pada usus.  Kes disentari di Sibu pada tahun 1930 menunjukkan seramai 107 dijangkiti dan menyebabkan kematian seramai 56 orang.

Pada tahun 1938, sebanyak 711 kes penyakit ini dilaporkan di Sarawak.  Manakala Bahagian Kedua dan Ketiga merupakan bahagian paling banyak penghidapnya.  Seramai 2/3 kes dilaporkan di kedua-dua bahagian ini. Serian juga tidak terkecuali daripada wabak penyakit ini.  Pada tahun 1938, terdapat 12 kes penyakit ini dikesan di Kampung Rayang.

Penafasan

Sementara itu, ada juga penyakit yang muncul semula.  Satu daripadanya ialah difteria.  Penyakit yang berkaitan dengan masalah jangkitan di tekak pesakit yang boleh membawa maut kerana ia membawa kesukaran bernafas.  Selepas 20 tahun Sarawak bebas daripada penyakit ini, ia mula muncul semula pada tahun 1935.  Penyakit ini berpunca dengan kedatangan orang luar ke Sarawak.  Di Kuching, pada tahun tersebut, mencatatkan seramai 142 kes penghidap penyakit tersebut.  Manakala di kawasan Rajang pula, seramai 24 orang.  Seorang kanak-kanak berusia lapan tahun yang menghidap penyakit ini telah meninggal dunia. Pada 6 November 1935, penyakit ini dikesan di Sarikei. Kuching dilanda semula penyakit itu pada 1936 dengan mencatatkan 212 kes.  Manakala tiga orang meninggal dunia.

Demam selsema (influenza) pernah menjadi satu wabak dalam kalangan penduduk Sarawak.  Penyakit ini dilihat seperti selsema biasa tetapi boleh membawa maut.  Kes-kes demam selsema ini pernah melanda di hulu Rajang, Mukah, Katibas dan Bintulu.  Wabak ini berlaku pada 1937, mencatatkan sebanyak 3,494 kes dengan separuh daripadanya dengan jumlah 2,137 kes berlaku di luar bandar.  Angka kematian pula banyak.

Pneumonia juga pernah menjadi wabak di Kampung Udaw Ulu Anyut, Betong.  Kejadian pada 1936 ini menyebabkan kematian seramai empat orang.  Di Baram, pada 1936 pula, terdapat wabak penyakit batuk kokol.  Penyakit yang melanda penduduk di Baram ini bermula pada Ogos tahun tersebut.  Kanak-kanak berusia bawah 10 tahun banyak menghidap penyakit ini.  Seramai 87 orang yang menghidap penyakit ini tetapi tiada kematian dilaporkan.

Kusta

Penyakit kusta pula tidak membawa kepada situasi epidemik di Sarawak.  Namun, terdapat maklumat dicatatkan tentang bilangan penghidap penyakit ini. Terdapat kes-kes terpencil tentang penyakit ini seperti pada 1935 yang dikesan di Bintulu.

Walaupun beguk bukannya penyakit yang membawa kepada epidemic, tetapi ia pernah dicatat sebagai antara penyakit yang terdapat dalam kalangan penduduk Sarawak.  Kes penyakit beguk di Kuching pada tahun 1937 mencatatkan 50 kes.

Perubahan yang berlaku di Sarawak pada zaman Brooke dengan pertambahan penduduk, pembukaan banyak pelabuhan dan kemunculan gaya hidup baharu, mendedahkan penduduk Sarawak kepada pelbagai jenis penyakit yang bersifat endemik bertukar menjadi epidemik.

Dr. Suffian Mansor ialah Pengerusi Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia.