Serikan ulang tahun kelahiran TYT

KENANGAN…Tun Taib dan Toh Puan Raghad merakam memori bersama pada Teater Muzikal Irama dan Lagu.

KUCHING: Teater Muzikal Irama dan Lagu anjuran TVS bersama Unit Protokol, Istiadat dan Pengurusan Acara Negeri (UPPAN) telah menyerikan lagi rangkaian acara sempena Ulang Tahun Kelahiran Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sarawak Ke-85 yang diadakan di Hotel Pullman, di sini, malam kelmarin.

Teater Muzikal Irama Dan Lagu mengembalikan nostalgia menerusi persembahan ‘Kisah Aku Dan Dia’ yang diberi nafas baharu selain mengangkat kehidupan Allahyarham P.Ramlee dan Allahyarhamah Saloma dalam industri hiburan tanah air.

Antara acara lain adalah persembahan nyanyian daripada Dayang Nurfaizah, Hafiz Suip, Fairuz Misran, Ningkan Norman, Nur Hijrah Yahya, Alif Tenor, Chien Ng dan Mal Imran yang telah diiringi Simfoni Orkestra Negeri Sarawak (SONS) serta penggiat seni daripada Tini Tyrani Event Management.

Semasa berucap, Pengerusi Sarawak Media Group (SMG) Dato Norhyati Mohd Ismail berkata, beliau bersama pasukan SMG amat berbesar hati setahun yang lalu pada tarikh 10 Oktober, Tun Taib  dan Toh Puan Raghad telah menyaksikan detik bersejarah Pelancaran TVS sebagai stesen televisyen di negeri Sarawak.

“Sempena genapnya setahun ini, kami ingin menyampaikan penghargaan tulus ikhlas dan junjung kasih kepada TYT Tun Taib dan Toh Puan Raghad, satu persembahan khas yang mengetengahkan hasil karya Tan Sri Datuk Amar P. Ramlee dalam bidang nyanyian yang dekat di hati Tun Taib melalui persembahan Teater Irama dan Lagu,” kata Norhyati.

Sementara itu, Tini Tyrani selaku pengarah dan pengurus persembahan ‘Kisah Aku Dan Dia’ menyatakan mesej cinta dalam persembahan tersebut adalah bersifat universal.

“Mesej utama yang ingin disampaikan adalah bahawa cinta itu sesuatu yang indah, dan ianya mendidik manis dan pahitnya kehidupan,” kata Yume. Hadir sama memeriahkan teater muzikal ini ialah Toh Puan Datuk Patinggi Raghad Kurdi Taib, Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Abdul Rahman Zohari Tun Abang Openg, dan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan serta Menteri Belia dan Sukan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, serta tetamu kenamaan lain.