Rang Undang-Undang Pemuliharaan Hidupan Liar dibentang di Parlimen

KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang Pemuliharaan Hidupan Liar (Pindaan) 2021 dibentang untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat semalam.

Rang Undang-Undang itu dibacakan Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Ali Biju (gambar) bertujuan meminda dan menambah baik Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 yang antara lain memasukkan sesyen baharu yang membolehkan hukuman denda maksimum RM100,000 dikenakan terhadap pesalah dalam kes  penganjuran dan mempromosikan hidupan liar.

Menurut naskah biru (blue bill) yang diedarkan kepada media, antara seksyen baharu yang dimasukkan  dalam rang undang-undang itu adalah Seskyen 88A dan 88B yang memperuntukan hukuman bagi mereka yang menganjurkan pertunjukan hidupan liar dan mempromosi hidupan liar.

Bagi Seksyen 88A, individu dilarang untuk menganjurkan pertunjukan hidupan liar melainkan pemegang permit untuk mengendalikan zoo.

Individu yang melanggar seksyen berkenaan dianggap melakukan kesalahan dan jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Bagi Seksyen 88B, tiada seorang pun boleh mempromosi mana-mana hidupan liar atau mana-mana bahagian atau terbitan mana-mana hidupan liar bagi urusan berniaga melainkan jika dia peniaga berlesen atau pemegang permit khas untuk menjalankan urusan berniaga.

Individu yang melanggar seksyen itu boleh didenda tidak kurang RM50,000 dan tidak lebih RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu Ali turut membentang Rang Undang-Undang Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) (Pindaan)  2021 kali pertama yang antara lain mencadangkan bidang kuasa nilaian pejabat pusaka ditingkatkan daripada tidak melebihi RM2 juta kepada maksimum RM5 juta.

Pindaan kepada Akta Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955 itu turut mencadangkan mana-mana waris yang tidak dapat hadir ke pendengaran petisyen pembahagian harta pusaka kecil untuk mengemukakan surat persetujuan, namun Pegawai Pembahagian Harta Pusaka diberi budi bicara meneruskan pendengaran walaupun surat tidak dikemukakan.

Kedua-dua rang undang-undang itu, menurut Ali akan dibentang untuk bacaan kali kedua pada mesyuarat kedua nanti.

Selain itu, turut dibentang untuk bacaan kali pertama ialah Rang Undang-undang Perihal Dagangan (Pindaan) 2021 yang antaranya mencadangkan larangan penggunaan apa-apa pernyataan, ungkapan, atau petunjuk yang mungkin mendiskriminasi atau memboikot apa-apa keluaran atau barang-barang.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Rosol Wahid ketika membentangkan rang undang-undang itu berkata ia akan dibentang untuk bacaan kali kedua pada sesi mesyuarat kali ini.

— Bernama