Pasar Minggu Lutong kembali meriah

Menteri Muda Pelancongan,Kebudayaan dan Kesenian, Datuk Sebastian Ting menyerahkan pelitup muka kepada salah seorang penjaja di Pasar Minggu Lutong, Miri.

PASAR Minggu Lutong kembali meriah dengan kehadiran  pengunjung susulan pembukaanya Ogos lalu selepas tidak  dibenarkan beroperasi sejak penularan wabak Covid-19 melanda.

Pastinya pengunjung yang datang mahu melihat pelbagai hasil tani di sini. Bukan itu sahaja, terdapat juga penjaja yang menjual pokok bunga serta barangan basah seperti ikan dan ayam terutamanya ayam pencen.

Penggemar hasil tani boleh mencuci mata dengan kesegaran sayur lemidin, ensabi, daun ubi, cendawan sawit, asam paya, terung asam, timun dayak, buah empelam dan banyak lagi.

Untuk rekod, Pasar Minggu Lutong yang menelan belanja kira-kira RM200,000 di bawah Projek Transformasi Luar Bandar(RTP)memberi manfaat kepada lebih 70 penjaja kecil.

Projek berkenaan dilaksanakan sejak Januari 2020 telah siap sepenuhnya pada 29 April tahun sama.

Jika sebelum ini, penjaja berniaga di bawah terik matahari  namun Kerajaan Sarawak prihatin dengan situasi mereka dengan menyediakan pasar minggu.

Kebanyakan penjaja yang ada di sini dari kawasan berhampiran  iaitu Tudan, Senadin Permyjaya dan Kuala Baram.

Pasar tamu ini dibuka hanya pada hujung minggu seawal 4.00 pagi.

Sementara itu, Ketua Pasar Minggu Lutong, Jalil Ngembol, 48, berkata, rata-rata penjaja termasuknya sendiri berniaga hasil tani yang ditanam sendiri di kebun berhampiran rumah.

“Sebahagian besar barang jualan saya tanam sendiri. Saya gembira sebab dapat jual sendiri hasil tanaman kerana inilah satu-satunya sumber pendapatan saya,” katanya.

Oleh LIONG CHAI LING