Liga Betong 2022 di Kompleks Sukan Spaoh

TINJAU… Datuk Amar Datuk Amar Douglas Uggah Embas diiringi Abang Suhordie semasa melakukan tinjauan pembinaan Kompleks Sukan Spaoh,baru-baru ini.

MUSIM baharu bakal menyaksikan Padang Kompleks Sukan Spaoh menjadi venue utama penganjuran Liga Betong 2022 dan Piala Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Presiden Persatuan Bola Sepak Bahagian Betong (BDFA), Abang Suhordie Abang Zaini berkata pembinaan Kompleks Sukan Spaoh kini telah 90 peratus siap, dan dijangka siap sepenuhnya hujung tahun ini.

“Dengan siapnya Kompeks Sukan Spaoh ini kelak, sudah pastinya BDFA dalam misi utama musim depan untuk menganjurkan Liga Betong 2022 dan Piala Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Datuk Amar Douglas Uggah Embas,” katanya semasa mengiringi Datuk Amar Douglas Uggah Embas melakukan tinjauan pembinaan Kompeks Sukan Spaoh, baru-baru ini.

Abang Suhordie berkata bagi pihak persatuan, ia adalah merupakan satu berita baik dan membolehkan lebih banyak lagi penganjuran sukan terutamanya bola sepak pada masa akan datang.

“Ia sekali gus merupakan satu mercu tanda baharu bagi persatuan (BDFA) itu dengan terbinanya sebuah kompleks sukan yang terletak di Daerah Kecil Spaoh, sekali gus ia menambahkan lagi bilangan fasiliti sukan di Bahagian Betong amnya,” ujarnya sambil menambah kos pembinaan Kompleks Sukan Spaoh itu bernilai RM14.5 juta.

Beliau yang juga merupakan Penolong Pengurus pasukan Sarawak United FC bagi musim 2021 berkata, pihaknya telah melakukan perancangan dan persiapan bagi menganjurkan beberapa pertandingan yang akan mendapat kerjasama daripada Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS).

“Dengan pertambahan bilangan fasiliti dan kemudahan sukan di bahagian ini, saya percaya ia mampu merealisasikan hasrat persatuan untuk mengembalikan kegemilangan sukan bola sepak di bahagian ini,” tegasnya.

Abang Suhordie yang mewakili penduduk Spaoh mengucapkan terima kasih kepada Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas yang sentiasa mengambil berat terhadap keperluan belia-belia di DUN Bukit Saban dalam usaha melahirkan belia-belia berbakat dari Spaoh amnya yang mampu menyinar mewakili negara pada masa akan datang.

Kompleks Sukan itu bakal mempunyai kemudahan seperti sebuah Dewan tertutup, padang bola sepak, trek larian, kemudahan untuk acara lompat tinggi, lompat jauh, tempat letak kenderaan serta kemudahan dan keperluan sukan lain.

Oleh ADI SAFARMAN