Sarawak peruntukkan RM10.646 bilion

SARAWAK memperuntukkan RM10.646 bilion bagi 2022 dengan tema ‘Bersatu dalam Membangun Masyarakat yang Berdaya Tahan, Inklusif dan Progresif’ dalam membantu rakyat yang terkesan akibat pandemik Covid-19. – Foto HERRIEY NAHA

KUCHING: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg semalam mengumumkan belanjawan sebanyak RM10.646 bilion bagi tahun 2022 dengan tema “Bersatu dalam Membangun Masyarakat yang Berdaya Tahan, Inklusif dan Progresif” dalam membantu rakyat yang terkesan akibat daripada pandemik Covid-19.

Katanya, belanjawan negeri 2022 dijangka akan mengalami defisit sebanyak RM610 juta.

“Untuk 2022, bajet kita ialah berjumlah RM10.136 bilion dan kita akan mempunyai anggaran pendapatan sebanyak RM10.036 bilion tetapi kita membelanjakan sebanyak RM10.646 bilion.

“Bajet ini adalah bajet pengembangan iaitu dalam keadaan yang tidak menentu ini dan kita memberikan tumpuan kepada mata pencarian dan kehidupan rakyat.

“Sebab itu, kita nampak bahawa dalam bajet ini kita banyak memberi peruntukan untuk membantu rakyat dalam masa yang genting ini dan alhamdulilah…kita mempunyai kewangan kukuh dan banyak program yang kita laksanakan yang akan membantu rakyat pada 2022,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Belanjawan Negeri 2022 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) semalam.

Apabila ditanya mengenai mesyuarat khas tersebut, Abang Johari berkata ia merupakan mesyuarat pertama kali baginya untuk berkongsi berkenaan dengan Belanjawan Negeri untuk tahun 2022 dengan anggota Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Ini adalah pertama kali kita berkongsi dengan ahli berhormat berkenaan dengan bajet kewangan 2022 kerana ketika ini kita masih dalam keadaan darurat di bawah undang-undang darurat kuasanya adalah tertakluk kepada ketua menteri untuk meluluskan peruntukan daripada Dana Gabungan untuk kita belanjakan dalam operasi satu tahun.

“Tetapi, saya mengambil keputusan dengan rakan di kabinet biarlah kita berkongsi dengan wakil rakyat mengenai dengan perbelanjaan kita pada 2022.

“Jadi, dengan tegas saya katakan, ini hanya untuk memberitahu mereka anggaran yang telah kita luluskan untuk 2022 berdasarkan kuasa yang saya ada di bawah Ordinan Darurat,” katanya.

Katanya, selaras dengan Seksyen 11 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (Sarawak) 2021 mengatakan walau apapun peruntukan dalam perlembagaan negeri Sarawak yang berkaitan dengan perbelanjaan yang dipertanggunjawabkan pada Dana Gabungan Negeri, setiap pengeluaran yang memerlukan ketetapan atau ketetapan Dewan Undangan Negeri, dan penarikan dari Dana Gabungan Negeri selama keadaan darurat berkuat kuasa, apa-apa perbelanjaan atau pengeluaran dari Kumpulan Wang Gabungan Negeri boleh dibuat dengan persetujuan Ketua Menteri atau Pihak Berkuasa Kewangan Negeri.

“Ini bermakna kuasa ini adalah dalam bidang kuasa Ketua Menteri atau Pihak Berkuasa Kewangan Negeri mengikut Seksyen 11 Ordinan tersebut.

“Namun, untuk memastikan tadbir urus yang baik, ketelusan dan akauntabiliti, saya memutuskan untuk menyampaikan Kenyataan Belanjawan Negeri Sarawak 2022 ini bersama dengan Ahli-ahli yang berhormat sekalian.

“Ahli-ahli yang berhormat bersetuju dengan apa yang telah saya putuskan dalam bajet 2022 dan kita juga memberi peluang kepada pihak kerajaan dan pembangkang (untuk memberi maklum balas),” katanya.

Oleh JEAKQLEYN YACHO