• Pembangunan Projek Infrastruktur Sarawak peruntukkan RM4.803 bilion

SIDANG MEDIA… Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg ketika menjawab soalan pengamal media pada sidang media setelah mempengerusikan Mesyuarat Khas Belanjawan Negeri 2022 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di Kuching, semalam.

KUCHING: Sejumlah RM4.803 bilion atau 64 peratus daripada jumlah perbelanjaan pembangunan akan diperuntukkan untuk melaksanakan pelbagai projek infrastruktur berasaskan desa dan program berfokus pada rakyat. 

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, usaha tersebut dilakukan bagi mengatasi ketidakseimbangan bandar dan luar bandar di samping mewujudkan lebih banyak pekerjaan dan peluang perniagaan kepada rakyat.

Katanya, sejumlah RM1.18 bilion akan diperuntukkan pada Belanjawan 2022 bagi memperhebatkan pembangunan infrastruktur seperti jalan raya dan jambatan, pelabuhan, serta infrastruktur sungai di seluruh Sarawak.

Di samping itu jelasnya, pembinaan projek infrastruktur utama seperti jaringan jalan raya, lapangan terbang dan pengangkutan bandar juga akan terus dilaksanakan tahun depan.  

“Pelaksanaan projek ini akan memberikan akses, hubungan yang lebih besar dan akan membuka lebih banyak kawasan luar bandar untuk pertanian dan pembangunan sosio-ekonomi yang lain,” katanya pada sidang media setelah mempengerusikan Mesyuarat Khas Belanjawan Negeri 2022 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, semalam.

Tambahnya, Kerajaan Sarawak komited untuk terus meningkatkan kemudahan dan infrastruktur Taman Perindustrian di negeri ini.

Katanya, Belanjawan 2022 akan memperuntukkan sejumlah RM124 juta untuk program perindustrian di Sarawak seperti Kawasan Perindustrian Sibu, Taman Perindustrian Demak Laut dan Kawasan Perindustrian Sematan.

Selain itu, penekanan yang lebih besar akan diberikan untuk mendapatkan pelaburan yang lebih berkualiti seperti pelaburan langsung asing (FDI) dan pelaburan langsung domestik (DDI) bagi meletakkan Sarawak sebagai destinasi peringkat teratas untuk pelaburan, pertumbuhan ekonomi dan peluang pekerjaan.

“Justeru, InvestSarawak akan digabungkan pada  2022 sebagai platform untuk mewujudkan inisiatif ini. Sementara dalam usaha menghidupkan kembali sektor pelancongan, sejumlah RM131 juta akan disediakan pada Belanjawan 2022 untuk pengembangan, promosi, dan warisan budaya pelancongan di Sarawak,” ujarnya.

Dalam pada itu, Abang Johari turut mengumumkan penubuhan Dana Warisan, Kesenian dan Budaya pada 2022 yang mana sejumlah RM10 juta akan diperuntukkan untuk dana berkenaan.

Katanya, bantuan khas ini akan membantu organisasi dan persatuan warisan, seni, dan budaya untuk mengatur aktiviti dan meningkatkan keupayaan organisasi bagi meningkatkan industri tersebut di negeri dan juga negara ini.

Oleh SYAMIMI HUSNA