Cuai periksa sijil vaksinasi boleh dikenakan tindakan

MENTERI Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamed Sadique (lima, kiri) dan Menteri Pengangkutan Datuk Seri Ir Dr Wee Ka Siong (tiga, kiri) melawat lokasi kebakaran di Kampung Baru Cina Karak, semalam. • Foto BERNAMA

BENTONG: Syarikat perkhidmatan pengangkutan awam yang ingkar, cuai atau lalai dalam memastikan penumpang lengkap divaksinasi bagi tujuan perjalanaan merentas negeri boleh dikenakan tindakan, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Beliau berkata, arahan khusus memeriksa sijil vaksinasi Covid-19 telah dikeluarkan kepada semua pengusaha pengangkutan awam sama ada darat, udara mahupun sektor maritim selepas aktiviti merentas negeri kembali dibenarkan mulai Isnin lalu.

“Agensi penguatkuasaan boleh membuat pemeriksaan seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang membuat pemeriksaan secara rawak terhadap bas untuk memastikan semua penumpang mematuhi syarat ditetapkan.

“Pemeriksaan (sijil vaksinasi) ini juga tidak melibatkan kos tambahan kepada pengusaha syarikat pengangkutan, sebaliknya menambah keyakinan penumpang untuk melalui perjalanan jarak jauh menggunakan pengangkutan awam,” katanya.

Wee ditemui pemberita selepas melawat dan menyampaikan sumbangan kepada mangsa kebakaran di Kampung Baru Karak di sini semalam yang turut dihadiri Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamed Sadique dan bekas Ahli Parlimen Bentong Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Isnin lalu, Wee berkata pengusaha pengangkutan awam diminta memastikan penumpang lengkap divaksinasi sebagaimana ditetapkan di bawah Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi melakukan perjalanan merentas negeri.

Dalam perkembangan lain, Wee berkata mangsa kebakaran di kampung tersebut dikecualikan bayaran untuk mendapatkan lesen memandu yang musnah dalam bencana itu, bagi memudahkan dan meringankan beban mereka terlibat.

“Kita sudah membawa unit mobil bergerak JPJ ke sini bagi membantu penduduk dan jika masih belum membuat permohonan mendapatkan penggantian, mereka boleh ke pejabat JPJ terdekat dan mengemukakan laporan polis,” katanya.

Kebakaran Kampung Baru Karak yang berlaku sekitar 9.00 malam pada 1 Oktober lepas memusnahkan 51 rumah dan sembilan unit kedai dan setakat ini, punca kebakaran masih dalam siasatan. – Bernama