SK Lempa laksana pendekatan PdPR

FOKUS…Seorang guru sedang membimbing murid ketika berlangsung sesi persekolahan
atau berkemungkinan sesi PdPc di SK Lempa,Saratok.

Sememangnya diakui bahawa masalah capaian rangkaian internet yang lemah telah menyukarkan ibu bapa termasuk pihak sekolah bagi  menjayakan pelaksanaan Pengajaran Dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR) dalam kalangan anak-anak.

Ini kerana kelemahan berkenaan menyebabkan mustahil buat murid-murid menyertai PdPR melainkan jika mereka boleh berkunjung ke mana-mana lokasi yang mempunyai capaian rangkaian internet lebih baik jika mahu menyertai sesi itu.

Faktor ini boleh menggugat semangat mereka terutama sekali dari kawasan luar bandar untuk terus menyertai PdPR sehingga memaksa mereka ‘ponteng kelas’ setelah sebulan atau dua bulan menyertai sesi pembelajaran secara maya itu.

Bagaimanapun di sebalik kelemahan itu, terdapat sekolah-sekolah yang tidak mahu mudah berputus asa untuk memastikan murid-murid tidak ketinggalan dalam menimba ilmu sepanjang waktu sukar penularan pandemik Covid-19 ini.

Ia dibuktikan apabila Sekolah Kebangsaan (SK) Lempa, Saratok pimpinan Guru Besarnya, Sejili Eton bertindak menjadikan PdPR secara luar talian sebagai pendekatan lain bagi memastikan murid-murid mereka terus mengikut sesi pembelajaran dari masa ke semasa.

PdPR secara luar talian berkenaan menyaksikan para warga guru SK Lempa menyediakan modul pembelajaran dengan para muridnya mengambil setiap tugasan yang disediakan setiap hari Isnin.

Kesemua 38 murid SK Lempa yang mengikuti PdPR secara luar talian ini diberi tempoh selama seminggu bagi menyiapkan tugasan berkenaan sebelum dikembalikan kepada para guru pada Isnin minggu berikutnya.

“Pihak SK Lempa sedar bahawa kelemahan capaian rangkaian internet boleh menyebabkan para muridnya jauh ketinggalan dalam sesi menimba ilmu berbanding dengan murid-murid yang tinggal di berdekatan kawasan Bandar Saratok.

“Dengan adanya PdPR secara luar talian ini maka murid SK Lempa, Saratok akan dapat terus menyertai sesi pembelajaran dan  berada begitu jauh ketinggalan berbanding murid id di kawasan bandar,” kata Sejili.

Beliau turut memberitahu bahawa ibu bapa murid amat menyambut baik usaha pihak SK Lempa dalam menyediakan bahan pembelajaran untuk anak-anak mereka di rumah-rumah panjang atau kampung.

“Ibu bapa ini kemudiannya mengambil alih peranan sebagai guru di rumah panjang dalam memantau proses pembelajaran anak masing-masing berpandukan kepada bahan yangd disediakan oleh pihak kami,” kata Sejili.

Selain melaksana PdPR, pihak SK Lempa kata beliau juga turut melaksana sesi Pembelajaran dan Pemudahcaraan (PdPc) secara bersemuka yang melibatkan para murid Pra-sekolah mereka.

Katanya PdPc secara bersemuka yang telah bermula semenjak 4 Oktober lepas hanya melibatkan seramai lima orang murid dengan taklimat  pengoperasian pembukaan sekolah telah diadakan dalam kalangan kakitangan sekolah pada 28 September.

“Taklimat itu telah pun dipengerusikan oleh saya sendiri sambil melibatkan kehadiran Penolong Kanan Pentadbiran, Abang Ahmad Abang Tar, Penolong Kanan Kokurikulum, Francis Juing Kadat, para guru guru dan juga kakitangan sokongansekolah.

“Taklimat berkenaan telah pun dilaksana secara alam maya  dengan menggunakan aplikasi Google Meet,” kata Sejili.

Justeru beliau mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh warga pendidik SK Lempa telah memberi komitmen yang amat tinggi dalam menjayakan PdPR demi kebaikan murid-murid mereka.

Oleh VALENTINE NGUMBANG