Sarawak terus bantu PKS

MESYUARAT…Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mempengerusikan Mesyuarat Khas Belanjawan Negeri 2022 di BCCK, semalam.

KUCHING: Kerajaan Sarawak akan terus membantu Perbadanan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (PKS) memulihkan dan membangun kembali perniagaan selain memudahkan urusan syarikat pemula di negeri ini.

Sehubungan itu, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg memaklumkan bahawa, sejumlah RM25.1 juta diperuntukkan bagi  2022 dalam memudahkan pemulihan perniagaan, PKS dan pengusaha mikro melalui pelaksanaan pelbagai bantuan dan inisiatif.

Katanya, ia akan melibatkan skim subsidi di bawah Kemudahan Bantuan Khas, Kemudahan Bantuan serta Pemulihan Fasiliti Bersasar serta Pembiayaan Pelancongan PENJANA.

Malah katanya, Belanjawan 2022 turut  memberikan sejumlah RM24.5 juta untuk program keusahawanan, Skim Kredit Mikro Sarawak, Skim Pinjaman Industri Kecil Dan Sederhana, Program Go Digital dan Latihan Pemasaran Digital.

Beliau berkata demikian pada sidang media setelah mempengerusikan Mesyuarat Khas Belanjawan Negeri 2022 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, semalam.

Sementara itu kata Abang Johari, Kerajaan Sarawak akan memperkenalkan bantuan khas tahun depan, iaitu Dana Pemerkasaan Perniagaan Bumiputera dan Dana Bantuan Pemulihan Perniagaan.

Katanya, Dana Pemerkasaan Perniagaan Bumiputera jelasnya, akan diperuntukkan dengan sejumlah RM10 juta bagi membantu persatuan perniagaan Bumiputera mengatasi penularan pandemik Covid-19 melalui program peningkatan perniagaan.

Manakala tambahnya, bagi Dana Bantuan Pemulihan Perniagaan, geran khas sekali sebanyak RM20 juta akan diperuntukkan untuk membantu Persekutuan Perniagaan Sarawak dan 15 syarikat gabungan untuk mengatur program peningkatan kapasiti serta pembangunan perusahaan untuk anggotanya.

Dalam perkembangan yang lain, Abang Johari berkata, Kerajaan Sarawak  terus melaksanakan pelbagai insentif dan bantuan kebajikan terutama untuk memberi manfaat kepada golongan rentan dan terjejas dengan jumlah peruntukan sebanyak RM372 juta bagi tahun depan.

Inisiatif ini jelasnya, melibatkan Sarawak Endowment Funds (EFS), Institusi Kanak-kanak dan Penjagaan Awal, Kad Emas Kenyalang (JGC), Bantuan Hemodialisis, Insentif i-Suri, Program Pemerkasaan Keluarga (e-Life) dan pelbagai bantuan kebajikan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Di samping itu, Kerajaan Sarawak akan meneruskan beberapa inisiatif bagi membantu rakyat seperti Program Air Percuma dengan peruntukan sebanyak RM20.2 juta, sambungan Bantuan Kewangan Kerajaan dengan peruntukan RM10 juta dan juga Program Tambang Bas Berkadar RM1.00 dengan peruntukan RM10 juta.

“Inisiatif lain yang akan diteruskan adalah bantuan kebakaran dengan sebanyak RM19 juta diperuntukan bagi membantu mangsa kebakaran membaiki dan membina semula rumah terbakar yang tidak dilindungi insurans kebakaran,” ujarnya.

Oleh SYAMIMI HUSNA