Usaha berbaloi dengan kenaikan harga sawit

HARGA NAIKā€¦ Buah tandan segar sawit yang dijual ke salah sebuah pusat pengumpulan di Batu Niah.

BEKENU : Pekebun kecil kelapa sawit semakin gembira dan tidak hirau penat dalam mengusahakan kebun sejak harga sawit naik pada setiap minggu.

Tinjauan Utusan Sarawak di sekitar Daerah Subis (Bekenu dan Batu Niah) mendapati harga buah tandan segar (BTS) sawit kini mencapai RM910 hingga RM960 satu tan.

Seorang pengusaha rem sawit (pusat pengumpulan sawit) di Batu Niah berkata, harga BTS di sini RM950 dan ramai pekebun kecil jual ke sini.

Katanya, BTS yang diterima adalah yang masak dan segar, BTS mentah lagi tidak segar akan ditolak kerana tidak mengikut piawai Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).

“Pekebun kecil dari rumah-rumah panjang dan kampung bedekat sering menjual BTS di sini kerana jarak perjalanan yang dekat.

“BTS yang dibeli itu akan hantar ke kilang-kilang yang ada di sekitar Jalan Pan Borneo Miri Bintulu dan Jalan Persisiran Pantai Miri Bintulu,” jelasnya.

Sehubungan itu, Utusan Sarawak difahamkan oleh Tuai Rumah Ayai Sawing bahawa ramai pekebun kini menjaga rapi kebun masing-masing bagi menggelak kes kecurian sawit.

“Kes kecurian sawit sering berlaku di kawasan Batu Niah, Sepupok dan Bekenu.

 “Kita juga mendapati bahawa banyak kumpulan pencuri sawit telah berjaya ditangkap oleh pihak polis,” jelasnya.