Fokus kecergasan pemain

PEMAIN pasukan Bintulu FA akan mula menjalani latihan pada Sabtu ini.

KETUA jurulatih skuad Bintulu FA, Zaidel Termidi akan memberi fokus sepenuhnya terhadap kecergasan pemain-pemainnya pada sesi latihan pertama Sabtu ini sebelum persediaan akhir menentang Miri FA dalam saingan Liga Bola Sepak SSC-FAS 2021 pada 30 Oktober ini.

Beliau berkata, ia adalah penting untuk memastikan pemain-pemain cergas setelah hampir lima bulan tidak beraksi akibat penangguhan liga tersebut sejak Mei lalu sebelum menerapkan sebarang latihan taktikal.

“Pemain-pemain telah diarahkan untuk bermula latihan pada Sabtu ini. Kecergasan dan penyesuaian badan adalah sangat penting buat pemain-pemain.

“Kita hanya mempunyai beberapa minggu untuk mempersiapkan pasukan, jadi kita perlu memastikan pemain-pemain cergas sebelum memulakan sebarang latihan taktikal untuk mereka, diharapkan dalam dua minggu terakhir sebelum menentang pasukan Miri di Stadium Bandaraya Miri 30 Oktober nanti,” katanya ketika dihubungi Utusan Sarawak semalam.

Zaidel berkata, latihan pasukannya akan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JBPN) Sarawak.

“Setiap SOP yang ditetapkan akan dipatuhi sepenuhnya termasuk penjarakan sosial antara pemain selain pemeriksaan suhu badan sebelum latihan manakala selesai tempoh latihan pemain dikehendaki terus pulang ke rumah.

“Taklimat mengenai SOP latihan ini akan dijelaskan kepada pemain, dan diharap mereka memahami sepenuhnya mengenai kaedah dan corak latihan yang akan dilaksanakan bermula Sabtu ini,” ujarnya.

Beliau, bagaimanapun, menegaskan barisan pemain perlu bertanggungjawab menjaga kecergasan masing-masing kerana staf kejurulatihan hanya boleh menyediakan program latihan yang ditetapkan.

“Bagi fasa awal ini, cukup penting kepada pemain mendapatkan kembali kecergasan sebelum pelaksanaan tahap kedua latihan diharapkan boleh dilakukan pada minggu hadapan,” tegas beliau lagi.

Dalam aksi pertama yang berlangsung April lalu, Bintulu FA gagal meraih mata penuh bermain di laman sendiri apabila hanya seri 0-0 menentang Mukah FA di Padang Turf Kelab Kidurong Bintulu.

Justeru menjelang pertemuan dengan pasukan pendahulu Zon Utara, Miri FA pada 30 Oktober nanti, pasukan Bintulu FA tiada pilihan kecuali mencatat kemenangan ke atas skuad Bandar Minyak itu untuk berada dua kelompok pasukan terbaik dan layak ke pusingan akhir, Disember nanti.

Oleh ADI SAFARMAN