Liga Sri Aman bakal kembali

TUMPUAN…Penjaring terbanyak Liga Sri Aman, Paul Sambang yang mewakili pasukan Datus United menjadi tumpuan utama saingan liga musim ini.

PERSATUAN Bola Sepak Bahagian Sri Aman (FASA) menjangkakan saingan Liga Sri Aman 2021 akan bermula dalam masa terdekat.

Setiausaha Kehormat FASA, Alfred Kendim menjelaskan saingan liga berkenaan yang telah ditunda sejak Mei lalu akibat penularan Covid-19 yang melanda negeri Sarawak pada ketika itu.

Bagaimanapun, tarikh sebenar penyambungan semula liga tersebut masih belum diputuskan disebabkan beberapa keperluan lain melibatkan seperti permohonan stadium, permit dan sebagainya.

“Ya…kita menyasarkan saingan Liga Sri Aman 2021 akan kembali bersambung semula dalam masa terdekat, kerana kita sememangnya telah merancang untuk memulakan serentak liga dengan saingan Liga SSC-FAS 2021.

“Kemungkinan kalau tiada halangan, selepas kita berbincang dengan Presiden FASA, Datuk Francis Harden Hollis, sekiranya beliau bersetuju kita akan umumkan dalam masa terdekat iaitu tarikh bagi penyambungan liga itu nanti,” katanya.

Alfred berkata pihaknya juga akan memohon kebenaran terlebih dahulu daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (SDMC) Sri Aman bagi memulakan saingan Liga Sri Aman.

Sementara itu, saingan Liga Sri Aman yang menyingkap tirainya pada Januari lalu telah disertai sebanyak sembilan buah pasukan yang menyertainya.

Sembilan pasukan itu ialah juara tahun lalu, Merpati Team, PDRM, Datus United, JAPSA FC, Azam FC, Englant FC, PC United FC, Rimong Crocs United dan Cyber Croc.

Kempen Liga Sri Aman 2021 pada kali ini, tampak agak menarik dengan kelibat beberapa pemain handalan seperti bekas-bekas pemain Sarawak, Kuching FA serta pemain skuad Piala Presiden dan Belia menyertai pasukan dalam saingan liga musim ini yang memenuhi empat orang kuota pemain import yang boleh diambil daripada bahagian lain di Sarawak.

Saingan Liga Sri Aman 2021 bagi merebut Piala Datuk Francis Harden Hollis menawarkan hadiah lumayan dengan sang juara membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM5,000, naib juara RM3,000, tempat ketiga pula mendapat hadiah wang tunai RM2,000 dan tempat keempat menerima hadiah wang tunai berjumlah RM1,000.

Selain itu , Anugerah Khas turut disediakan kepada pemain terbaik perlawanan akhir, penjaring terbanyak dan Fair Play.