Urus kerja dengan bijak

MEMERIKSA…Datuk Julaihi Narawi memeriksa salah satu tapak projek di Sadong Jaya, semalam.

KUCHING: Kontraktor yang diarah menjalankan kerja menaik taraf dan membaik pulih dua jalan di sepanjang jalan pesisir di Sadong Jaya diarahkan untuk mengurus program kerja dengan bijak.

Menteri Muda Pembangunan Pelabuhan dan Infrastruktur Sarawak Datuk Julaihi Narawi menyatakan tidak berpuas hati dengan dengan kemajuan projek naik taraf jalan raya dari Kota Samarahan hingga Sadong Jaya (PA2).

“Saya banyak dapat aduan daripada orang awam, aduan daripada sosial media, wakil rakyat tempatan bahawa jalan ini dalam keadaan yang tidak selesa digunakan oleh pengguna jalan di kawasan ini.

“Frekuensi trafik adalah tinggi, jadi kontraktor yang dapat tender di kawasan ini mesti mempunyai kemampuan mengatur program kerja mereka dengan bijak

“Malah, saya hendak tekankan juga di sini bahawa laluan pesisir ini menuju ke Feri Batang Lupar, Pangkalan Sebuyau dan Triso dan seterusnya ini adalah satu-satunya laluan pesisir yang ada di sini,” katanya kepada media di Sadong Jaya semalam.

Beliau berkata, kerja-kerja membaik pulih dan menaik taraf projek itu dilihat tenat dan  meminta pihak kontraktor yang bertanggungjawab menyiapkan kerja-kerja yang ditetapkan dengan segera.

“Jalan ini kalau mengikut konsultant, pencapaian ialah 2.2 peratus berbanding dengan yang dijadualkan 41 peratus dan ini bermakna lewat 39 peratus.

“Boleh dikira agak tenat, jadi saya minta supaya kontraktor yang berstatus bumiputera ini mengambil tindakan segera menyiapkan kerja-kerja yang ditetapkan.

“Kita mahu supaya ‘catch up plan’ berkesan bukan sahaja untuk taklimat tapak tetapi dilaksanakan dengan berkesan mengikut apa yang dirancang,” tegasnya.

Beliau yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau menegaskan bahawa pemilik syarikat perlu mengawasi projek setiap masa dan jangan hanya membiarkan projek kepada sub kontraktor.

“Jadi saya berharap kontraktor yang telah mendapat kontrak ini mengambil tindakan yang segera sebab jalan ini adalah jalan keluar menuju ke Jalan Pesisir.

“Selain itu, kita minta laporan setiap minggu kali ini, sebab 39 peratus adalah kelewatan yang agak tinggi, kita minta laporan mingguan untuk dihantar kepada Unit Jalan Pesisir dan Jalan Utama mulai semalam.