Hong Kong umum longgarkan sekatan

KETUA Eksekutif Hong Kong, Carrie Lam, pada sidang media mengenai Covid-19, semalam. • Foto AFP

HONG KONG: Hong Kong semalam mengumumkan perancangan melonggarkan langkah penjarakan sosial utama selepas berjaya membendung jangkitan tempatan Covid-19.

Ia termasuk membuka semula sekolah, panggung wayang, bar dan pusat kecantikan.

Keputusan itu yang berkuat kuasa Jumaat ini, bakal menyuntik dorongan kepada bandar ini yang dibelenggu krisis ekonomi susulan pandemik terbabit dan bantahan antikerajaan selama berbulan-bulan.

Malah, pihak berkuasa turut mendedahkan perancangan untuk mengagihkan topeng muka boleh digunakan semula kepada keseluruhan 7.5 juta penduduknya.

Hong Kong merekodkan beberapa jangkitan terawal di luar Tanah Besar China, namun berjaya mengawal kadar jangkitan kepada kira-kira 1,000 kes dengan empat kematian walaupun terletak berhampiran tanah besar itu.

Tiada jangkitan baharu disahkan di Hong Kong dalam tempoh sejak 10 hari lalu, manakala kes direkod membabitkan individu tiba dari luar negara pula segera dikuarantin.

“Saya berharap pendekatan ini akan memberi manfaat kepada rakyat pada waktu sukar kini,” kata Ketua Eksekutif Hong Kong, Carrie Lam, kepada pemberita ketika membentangkan perancangan berkenaan, semalam.

Pelajar menengah atas akan kembali memulakan persekolahan pada 27 Mei depan, manakala pembelajaran peringkat rendah bermula separuh bulan pertama Jun.

Larangan perhimpunan awam atau makan bersama di restoran turut dilonggarkan kepada lapan individu, berbanding empat sebelum ini.

Pelbagai perniagaan yang diarahkan tutup sebelum ini juga akan dibenarkan kembali beroperasi dengan peraturan tertentu. – AFP