Keenakan Pulut Panggang Sibu tiada tandingan

POPULAR… Gerai Pulut Panggang Kak Yam Noor popular dalam kalangan penduduk setempat.

PULUT panggang merupakan salah satu daripada makanan  popular yang terdapat di Sibu, selain mi kampua, penyaram, kek lapis dan sebagainya.

Pulut panggang menjadi hidangan wajib bagi  pengunjung yang datang melawat Sibu, tambahan pula pulut panggang ini boleh dibeli dengan harga yang murah dan berpatutan.

Keunikan Pulut Panggang Sibu adalah ia tidak mempunyai inti atau kosong di bahagian dalamnya.

Disebabkan ketiadaan inti itulah membuatkan haruman aroma santan dan pulut yang telah dipanggang itu cukup memukau dan rasa lemak pulutnya pula pasti akan membuatkan anda sentiasa terkenang-kenang akan pulut panggang Sibu.

Selain dimakan begitu saja, pulut panggang Sibu juga boleh dinikmati bersama dengan sambal ikan bilis atau perencah yang lain.

Pulut Panggang Sibu boleh didapati di gerai-gerai sekitar kawasan Kampung Datu, Kampung Hilir, Kampung Nangka dan Jalan Bandong dengan harga yang amat berpatutan.

Penyelidikan MARDI 

Hasil daripada kejayaan penyelidikan oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI pada pengakhir tahun 2016 membawa berita gembira kepada para pengusaha pulut panggang.

Menerusi hasil penyelidikan tersebut, pembungkusan inovatif dan produk pulut panggang sejuk beku berhasil meningkatkan jangka hayat produk itu antara enam bulan hingga lapan bulan.

Ia sekali gus membolehkan pulut panggang Sibu dikomersialkan ke serata tempat di Sarawak, dalam dan luar negara.

Penghasilan Pulut Panggang Sibu 

Pulut panggang dihasilkan daripada beras pulut, sedikit garam dan santan. Beras pulut akan dimasak terlebih dahulu sebelum dibalut dengan daun pisang. 

Pulut yang telah siap dibalut itu kemudiannya akan dipanggang buat seketika, sebelum ia dihidang dan boleh dijamu.

Pada 3 Ogos 2014, pulut panggang Sibu telah mencatat sejarah apabila berjaya melakarkan nama dalam Malaysia Book of Records (MBOR) atas kejayaan menghasilkan pulut panggang terbesar dan terpanjang.

Gerai Pulut Panggang Kak Yam Noor amat popular dalam kalangan penduduk setempat.

Oleh AKUN GIMAN