Keringkam sama nilai dengan emas

PEMBUAT keringkam, Norinda Su’ut menguasai seni ini sejak berusia sembilan tahun.

Anda biasa melihat wanita Sarawak menggayakan tudung atau selayah keringkam yang sarat bunganya?  Jangan tidak percaya bahawa harga sehelai tudung itu boleh mencecah belasan ribu ringgit dan semakin lama usianya, semakin tinggi nilainya.

Menurut pembuat kraf tangan keringkam, Norinda  Su’ut, 53, nilai kain keringkam sama seperti harga emas kerana benang keringkam itu sendiri memang bersadur dengan emas.  Oleh itu, nilai keringkam juga meningkat mengikut harga emas.

“ Justeru untuk menentukan harga keringkam itu, pembuat keringkam biasanya menghitung helaian benang emas yang digunakan, harga kain ditambah dengan upah,”  kata beliau yang juga merupakan Setiausaha Persatuan Keringkam dan Songket Sarawak.

Menguasai seni keringkam sejak usia sembilan tahun, wanita yang berasal dari Kampung Lintang ini sudah biasa menghasilkan tudung keringkam untuk kalangan orang ternama.  Bagi beliau, seni ini terlalu istimewa kerana ia warisan keluarga dan beliau bertanggungjawab untuk meneruskannya.

“Saya belajar seni ini dari nenek saya sebab masa kecil saya selalu mengacau beliau ketika menyulam keringkam.  Bukan sahaja keturunan kami malah hampir semua wanita di Kampung Lintang ketika itu ada membuat keringkam, cuma bezanya mereka hasilkan untuk diri sendiri dan bukan untuk dijual,” katanya.

Tidak mahu seni ini pupus dari keturunan mereka, Norinda menurunkan seni keringkam ini kepada seorang daripada tiga anak perempuannya.

“Hanya seorang daripada anak perempuan saya yang berminat tetapi disebabkan dia sibuk dengan pelajaran, maka dia tidak begitu fokus untuk menghasilkan keringkam,” katanya.

Bercerita tentang proses menyulam keringkam, Norinda berkata perkara pertama adalah mencari kain yang sesuai, biasanya kain Kasa Rubia atau Chiffon, bergantung kepada kehendak pelanggan. Bagi Norinda sendiri, beliau biasanya membeli tudung sedia ada yang berkualiti di pasaran kerana merasakan cara ini lebih mudah.

Seterusnya adalah menyediakan benang keringkam, sama ada benang emas atau perak, juga berdasarkan permintaan pelanggan. Benang emas biasanya dibeli dengan harga RM200 seikat (anggaran lapan hingga 12 helai) dan sebagaimana yang dinyatakan di atas, harga benang ini turun naik mengikut harga emas di pasaran.

Jumlah benang yang digunakan pula bergantung motif  atau ‘tabur’ dalam istilah keringkam, yang diminta pelanggan.  Lebih banyak benang diperlukan jika pelanggan meminta sulaman pada keseluruhan bahagian tepi tudung atau motif yang rumit .

Kain akan dibentang di atas satu rangka khas atau dipanggil ‘pedangan’ yang berfungsi menegangkan kain agar mudah disulam.  Selepas itu baharulah sulaman tepi atau ‘tali air’ dibuat dan seterusnya ‘tabur’ di bahagian dalam.

 “Proses menyulamnya guna teknik ‘tebus dan tarik’ atau mengira ke depan dan ke belakang berdasarkan urat benang.  Selebihnya adalah kreativiti untuk menghasilkan corak yang dimahukan serta kesabaran untuk menyiapkannya” kata Norinda.

Untuk menentukan harga keringkam yang dihasilkan pula, pembuat keringkam seperti Norinda mempunyai kaedah kiraan iaitu jumlah ikat benang didarab dengan harga seikat dan kemudian jumlah ini diganda. Sebagai contoh, jika enam ikat benang digunakan dan harga benang seikat adalah RM200 cara mengira harga adalah (6 x RM200 x 2).  Harga tudung keringkam tersebut adalah sekitar  RM2,400 dan harga ini sudah termasuk upah.

Sudah mahir dengan seni ini, Norinda tidak mengalami masalah untuk menyiapkan apa sahaja motif keringkam yang diminta pelanggan.  Bagaimanakan sebagai seorang yang mempunyai kerjaya tetap, beliau sentiasa mengejar masa untuk menyiapkan tempahan.

Bagi sehelai tudung keringkam dengan motif paling mudah seperti tudung bawal segi tiga, Norinda boleh menyiapkannya dalam  masa dua hari, manakala selayah pendek dengan sisi bersulam di empat sudut kain serta ‘tabur’ yang jarang pula mengambil masa antara sebulan hingga dua bulan.

“Bagaimanapun untuk selayah yang padat ‘tabur’ akan mengambil masa antara empat hingga lima bulan,” kata Norinda.

Seorang yang mementingkan kualiti produknya, Norinda sentiasa memastikan selayah keringkam yang dihasilkannya sebagai karya yang terbaik demi menjamin kepuasan hati para pelanggannya.

Memiliki tudung atau kain keringkam memang membanggakan kerana ia warisan tradisi Sarawak , namun kata Norinda, jagaan kain ini agak rumit.

Beliau tidak menggalakkan pemilik keringkam mencuci tudung atau kain ini selepas dipakai kerana jika tidak pasti kandungan bahan kimia di dalam bahan pencuci, ia boleh merosakkan warna benangnya. 

“Selepas dipakai, anginkan sahaja dan elakkan  juga menyembur minyak wangi pada tudung keringkam.  Jagaannya memang rumit tapi nilainya kain ini sentiasa meningkat, sebab itu ia begitu berharga,” katanya.

Oleh HAINI DARANI