Miri miliki ramai pemain berbakat

TAHNIAH… Dato Sri Lee Kim Shin merakam kenangan bersama pemain yang berjaya memenangi pada kejohanan badminton di Miri semalam.

BAHAGIAN Miri mempunyai ramai pemain berbakat dan kemahiran tinggi dalam sukan badminton, kata Menteri Pengangkutan Dato’ Sri Lee Kim Shin semalam.

Berucap di Majlis Penutupan Kejohanan Kumpulan Umur Sarawak 2021 beliau berkata, pertandingan itu adalah platform terbaik untuk menggalakkan pemain muda meningkatkan taraf kemahiran mereka.

“Usaha sedemikan perlu diberi sokongan dan menggalakkan pelbagai pertandingan individu dan berkumpulan diadakan pada setiap tahun.

“Pertandingan tersebut juga akan memberi peluang untuk mencari bakat baharu yang boleh dipilih untuk menjalani latihan yang betul dan mengembangkan mereka,” jelasnya.

Kejohanan Kumpulan Umur Sarawak 2021 ini merupakan anjuran bersama Persatuan Badminton Sarawak, Perbadanan Sukan Sarawak dan Kelab Badminton Lopeng yang diadakan di Tung Sport Badminton Dewan, Miri semalam.

Sehubungan itu, Dato’ Sri Lee turut mencadangkan Perbadanan Sukan Sarawak menubuhkan Pusat Kecemerlangan Sukan Badminton di Miri dengan jurulatih profesional sepenuh masa untuk melatih pemain yang berpotensi.

“Miri mempunyai beberapa pemain muda yang boleh dibangunkan untuk memanfaatkan potensi mereka untuk cemerlang dan mewakili Miri di peringkat negeri, kebangsaan dan mungkin juga antarabangsa.

“Saya melihat ibu bapa sangat menyokong penglibatan anak-anak mereka dalam sukan badminton dan ini harus diberikan perhatian,” katanya lagi

Beliau turut menyampaikan hadiah kepada para pemenang bagi setiap kategori peringkat umur iaitu 13, 16 dan 19 tahun. Kejohanan itu telah diadakan pada 6 dan 7 November 2021.

Oleh ADUM LIU