Kuching City peroleh kemenangan sulung

WIRA … Mohammad Rafiq Shah muncul wira bagi pasukan Kuching City melalui jaringan tunggalnya pada minit ke-71. • Foto Media KCFC

IMPIAN untuk pasukan Perak FC mencatat kemenangan di gelanggang sendiri tidak kesampaian apabila tumpas 0-1 kepada Kuching City FC dalam saingan TM Piala Malaysia kumpulan B di Stadium Perak, Ipoh malam kelmarin.

Ini adalah kemenangan sulung skuad kendalian Irfan Bakti Abu Salim, manakala Perak FC pula merupakan kekalahan ketiga berturut-turut yang kecundang dua kali kepada Terengganu FC.

Begitupun perlawanan ini sudah tidak mempunyai sebarang makna buat kedua-dua pasukan yang sudah tersingkir daripada saingan suku akhir.

Hanya kemenangan itu pasti memberi kepuasaan kepada Kuching City FC kerana memintas Perak FC dalam kumpulan.

Dalam perlawanan tersebut, Mohammad Rafiq Shah muncul wira pasukan The Cats melalui jaringan tunggalnya pada minit ke-71.

Raffiq membuat tindakan susulan untuk menolak masuk ke dalam gawang melepasi Mohd Farhan Majid yang terdahulu berjaya menghalang percubaan lawan.

Ketua jurulatih Perak, Shahril Nizam dalam sidang media selepas perlawanan berkata pemain mudanya telah bermain dengan baik, namun mendapati diri mereka sukar untuk menembusi barisan pertahanan Kuching City yang kebal.

Shahril juga menyatakan bahawa pengalaman pemain Kuching City memberi pasukan tersebut kelebihan dan ianya jelas kelihatan pada malam tersebut.

“Pemain-pemain muda saya rasa bermain agak baik tetapi kita tidak dapat diterjemahkan dengan kemenangan pada malam ini.

“Kita ada peluang pada babak pertama dan cuba untuk menembusi pertahanan Kuching City namun barisan pertahanan Kuching City amat kebal.

“Pengalaman membezakan kita, dan saya harap pemain saya akan mengambil iktibar dari pengalaman ini,” kata Shahril selepas perlawanan.

Oleh ADI SAFARMAN