Kos tunai haji diketahui sebelum tahun hadapan

DATUK Ahmad Marzuk Shaary (kanan) merasmikan Klinik Rohani JAKIM di Hospital Tampin, semalam. • Foto BERNAMA.

TAMPIN: Kadar kos menunaikan ibadah haji dijangka diketahui sebelum awal tahun hadapan, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ahmad Marzuk Shaary.

Bagaimanapun beliau berkata, beliau tidak menolak kemungkinan kadar itu meningkat, susulan ketetapan dari kerajaan Arab Saudi yang menaikkan Cukai Nilai Tambah (VAT) sehingga 15 peratus.

“Selain perubahan Prosedur Operasi Standard (SOP) ibadah itu yang dilaksanakan dalam norma baharu akibat penularan pandemik Covid-19, seperti penjarakan fizikal iaitu had kapasiti bilik hotel yang mengehadkan hanya dua orang dalam satu bilik, sudah tentu akan meningkatkan pertambahan kos.

“Namun kadar sebenar kos haji akan diumumkan selepas mesyuarat kabinet sebelum awal tahun hadapan,” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Klinik Rohani di sini semalam.

Sebelum ini media melaporkan peningkatan kos ibadah haji itu sebahagian besarnya berkait rapat dengan SOP yang perlu dipatuhi, seperti penjarakan fizikal, had kapasiti bilik hotel dan bas, selain pergerakan jumlah jemaah di dalam Masjidil Haram yang turut dihadkan.

Dalam pada itu, Ahmad Marzuk berkata kerajaan juga menyediakan bantuan subsidi kepada individu yang ingin menunaikan haji, yang mana  kos sebenar sebelum Covid-19 adalah sebanyak RM24,000.

“Jemaah haji hanya perlu membayar RM9,980 dengan kerajaan menanggung subsidi sebanyak RM12,920. Insya-Allah, jumlah dan kadar yang mampu untuk para jemaah nanti,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata kadar sebenar akan diketahui tidak lama lagi termasuk senarai nama-nama mereka yang terpilih menunaikan haji.

Jelasnya, kerajaan akan terus mengekalkan subsidi haji, cuma kadar dan jumlah ditetapkan berdasarkan kewangan semasa tabung haji. – Bernama