Gembira kembali ke sekolah!

DR Annuar Rapaee ketika melawat SMK Agama Sibu.

Pembukaan semula sesi persekolahan secara bersemuka pada 3 Oktober lalu telah memberi kelegaan kepada banyak pihak terutama ibu bapa dan pelajar.

Ini kerana, pandemik Covid-19 yang berpanjangan sehingga hampir dua tahun memberi kesan kepada pendidikan negara.

Banyak sekolah terpaksa ditutup untuk jangka waktu yang panjang sehingga memaksa pelajar-pelajar mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR) secara atas talian.

Namun, apabila Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Radzi Jidin mengumumkan sesi persekolahan secara bersemuka akan tetap dilaksanakan pada 3 Oktober, berita itu disambut gembira oleh para ibu bapa dan pelajar.

Bagi Nur Fazira Madehi, 17, menyatakan rasa teruja dapat kembali ke sekolah kerana pembelajaran secara bersemuka padanya lebih mudah berbanding PdPR.

“Kadang-kadang saya berasa sangat bosan duduk di rumah sahaja. Saya berasa rindu dengan aktiviti di sekolah yang melibatkan rakan-rakan dan guru.

“Saya harap, selepas ini, tidak lagi perlu belajar secara atas talian dan dapat belajar dengan rakan-rakan seperti dahulu,” kata pelajar Tingkatan 5 itu.

Katanya lagi, kembali ke sekolah juga adalah peluang terbaik untuk dirinya serta rakan-rakan untuk membuat persiapan bagi menghadapi peperiksaan akan datang.

Sementara itu, ayah pelajar, Madehi Hassim, 51, menzahirkan rasa lega apabila kerajaan mengumumkan pembukaan semula sesi persekolahan secara bersemuka membabitkan kelompok pelajar tertentu.

Katanya,  proses pembelajaran secara bersemuka adalah lebih berkesan berbanding secara atas talian.

“Saya bimbang kaedah PdPR pada masa ini kurang mendorong anak-anak untuk minat belajar, lebih-lebih lagi jika berlaku masalah terhadap capaian internet

“Tumpuan mereka dalam pelajaran akan terjejas, sekaligus memberi kesan kepada peperiksaan mereka kelak,” katanya.

Walaupun berasa lega kerana anak sudah dapat kembali belajar secara bersemuka, tidak dinafikan perasaan bimbang akan keselamatan anak itu tetap ada dalam dirinya.

Beliau berharap, para guru dapat memastikan semua pelajar mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan agar penularan wabak Covid-19 dapat dihindari.

Sementara itu, Menteri Muda Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Dr Annuar Rapaee telah mengadakan lawatan ke beberapa buah sekolah sempena hari pertama pembukaan sesi persekolahan bersemuka di Sibu pada 3 Oktober.

Dr Annuar telah mengadakan lawatan ke Sekolah Tinggi Katolik di Jalan Lanang bagi meninjau kehadiran pelajar pada hari pertama sesi persekolahan.

Katanya, sesi persekolahan melibatkan pelajar Tingkatan 5 dan 6 sahaja.

“Sekolah (Tinggi Katolik) ini mempunyai 230 pelajar senior tiga yang berumur 18 tahun. Senior dua yang berumur 17 tahun akan turun 2 minggu akan datang.

“Kepada semua guru dan pelajar saya doakan keselamatan dan kesihatan mereka supaya sentiasa dalam keadaan baik,” katanya.

Beliau juga turut melawat ke SMK Agama Sibu dan memberi kata-kata semangat kepada pelajar Tingkatan 5 dan 6.

Oleh NURZILLA MOHAMAD