Agong terima watikah pelantikan 13 perwakilan asing

YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat ke Majlis Menghadap selepas Istiadat Penyerahan Watikah Pelantikan oleh bakal Ketua-Ketua Perwakilan Asing ke Malaysia di Istana Negara semalam. Turut hadir Timbalan Menteri Luar, Datuk Kamarudin Jaffar dan Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri Datuk Seri Muhammad Shahrul Ikram Yaakob. • Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah semalam berkenan menerima watikah pelantikan 13 ketua perwakilan asing ke Malaysia, di Istana Negara di sini.

Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut berangkat ke Istiadat Penyerahan Watikah Pelantikan dan Majlis Menghadap itu.

Hadir sama ke istiadat itu ialah Timbalan Menteri Luar Datuk Kamaruddin Jaffar dan Ketua Setiausaha Kementerian Luar Datuk Seri Muhammad Shahrul Ikram Yaakob.

Ketua-ketua perwakilan asing berkenaan ialah Bulat Sugurbayev dari Kazakhstan, Nineta Barbulescu (Romania), Dr Hajara Salim Ibrahim (Nigeria), Edmundo Font Lopez (Mexico), Dr Justin Lance Lee (Australia) dan Andreas Launer (Austria).

Yang lain ialah Dr Joachim Bergstrom dari Sweden, Irfan Davudov (Arzebaijan), Morten Paulsen (Norway), B. N. Reddy (India), Massimo Rustico (Itali), Datuk Mahmud Saidin (Brunei Darussalam) dan Ragai Tawfik Said Nasr (Mesir).

Sugurbayev merupakan bekas Pengarah Jabatan Amerika, Kementerian Hal Ehwal Luar Republik Kazakhstan dari 2015 hingga Februari 2021, sementara Barbulescu pernah menjadi Duta Romania di Nauru pada 2019.

Hajara pula pernah berkhidmat sebagai Ketua Bahagian, Dewan Perwakilan Nigeria antara 1993 dan 2015.

Sementara itu, Lopez sebelum ini adalah Duta Mexico di St. Lucia dari 2012 hingga 2013, manakala Lee adalah bekas pegawai kanan kerjaya di Jabatan Hal Ehwal Luar Australia.

Launer pernah menjadi Konsul Jeneral Austria di Los Angeles, Amerika Syarikat pada 2017 manakala Bergstrom sebelum ini merupakan Duta Sweden di Korea Utara selama dua tahun bermula 2019.

Davudov sebelum ini merupakan Ketua Bahagian, Jabatan Dasar Belia dan Isu Sukan Azerbaijan  sementara Paulsen pernah berkhidmat sebagai Konsul Jeneral Norway di Texas, Amerika Syarikat pada 2015 hingga 2019.

Reddy pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Bersama (Kerjasama Antarabangsa) Kementerian Petroleum dan Gas Asli, New Delhi, India manakala Rustico adalah Duta Itali di Hungary selama lima tahun sejak 2016.

Mahmud pernah bertugas sebagai Pesuruhjaya Tinggi Brunei di Pakistan pada 2015 hingga 2021 manakala Ragai adalah bekas Duta Besar Mesir di Zambia antara 2014 dan 2017. – Bernama