PRN Sarawak: Kerjasama telco diperlukan

RAMAH MESRA …Tan Sri Annuar Musa (lima, kiri) beramah mesra dengan petugas bilik operasi Command Center Barisan Nasional (BN) di Dewan Seri Chendana semalam. • Foto BERNAMA

MELAKA: Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak yang akan berlangsung dalam tempoh terdekat memerlukan kerjasama dari syarikat telekomunikasi (telco), bagi menjayakan kempen secara dalam talian.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa berkata, ia bagi memberikan peluang kepada semua pihak untuk berkempen secara dalam talian, seperti yang dilaksanakan pada PRN Melaka ketika ini.

“Jadi untuk tujuan pilihan raya, kerana kita menjangkakan mungkin pilihan raya akan berlaku sedikit masa lagi sekitar bulan Disember, jadi langkah sementara ini penting.

“Jadi sekali lagi kita perlukan kerjasama telco untuk pergi ke kawasan-kawasan yang kurang daya komersial, kerana  jumlah penduduk tidak tinggi tapi dalam konteks pilihan raya, semua kawasan perlu diberikan peluang supaya program berkempen secara dalam talian dapat dilaksanakan,” katanya, di sini semalam.

 “Jadi di situ kita telah bersetuju untuk meningkatkan penggunaan jalur lebar satelit tetapi untuk pilihan raya, kita nak kena tengok secara lebih terperinci kawasan mana dan apa masalah…dan saya akan ke sana minggu hadapan.

“Kita akan tengok bagi memastikan semua pusat-pusat, terutama sekali pusat mengundi kita kena pastikan kita ada kemudahan perkhidmatan internet. Ini supaya kita dapat membuat liputan daripada semua kawasan mengundi, tetapi kalau nak untuk kesemua kampung itu belum (lagi).

“Kerana di sana di bawah program Jalinan Digital Negara (JENDELA), kita baru keluarkan surat-surat bagi kerja-kerja untuk JENDELA fasa 1 dan fasa 2, fasa satu yang mana memerlukan 600 lebih menara dipasang di seluruh Sarawak, dan itu memakan sedikit masa,” katanya.

Satu mesyuarat khas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkaitan urusan PRN Sarawak ke-12 akan diadakan pada 24 November di Kuching, Sarawak.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 3 November berkenan menamatkan Proklamasi Darurat bagi Sarawak, yang berkuat kuasa sejak 2 Ogos lepas.

Penamatan Proklamasi Darurat itu secara tidak langsung memberi laluan kepada PRN Sarawak diadakan, setelah tempoh mandat kerajaan negeri Sarawak tamat pada 6 Jun lepas.

 Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg pada 5 November  mengumumkan bahawa, Dewan Undangan Negeri Sarawak telah terbubar berkuat kuasa 3 November, selaras perkenan Yang di-Pertuan Agong, sekali gus memberi laluan kepada PRN Sarawak.

— Bernama