Alice pertahan tradisi anyaman tradisional Iban

TELITI… Alice teliti dalam menganyam ‘tikai anyam bebuah’ bagi menghasilkan corak yang diinginkan dengan sempurna.

Tali PVC yang dianyam kemas menjadi tikar dengan kepelbagaian warna dan corak mampu meraih tempat di hati masyarakat. 

Berbekalkan minat yang mendalam dalam seni anyaman tradisional Iban, seorang gadis lepasan Politeknik Mukah dalam bidang Diploma Pengajian Perniagaan mampu meraih pendapatan sampingan melaluinya. 

Bertekad untuk mengekalkan tradisi anyaman tradisional menerusi plastik PVC yang lebih mudah didapati, Alice Uyap Tengan, 27 berusaha mempelajari teknik anyaman dan corak dengan hanya memerhati ibu saudara beliau yang telah mahir dalam bidang tersebut. 

SEJARAH

Mengulas mengenai tempoh beliau mula menceburkan diri dalam bidang tersebut, Alice memberitahu beliau mula berjinak-jinak dengan tali PVC sejak Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dilaksanakan di Julau pada tahun ini. 

“Saya telah lama mempunyai keinginan untuk mendalami seni anyaman ini namun, oleh kerana jadual yang agak sibuk sewaktu menjadi pelajar menyukarkan saya untuk memberi fokus 100 peratus kepada seni anyaman ini. 

“Sebelum ini saya hanya memerhati bagaimana ibu saudara saya melakukannya dan saya mula belajar dengan menggunakan bemban di mana saya mula belajar menganyam corak yang lebih mudah. 

“Sekarang saya mampu menganyam lebih kurang tiga golong tikar dengan corak yang dibenarkan (kerana ada sebahagian corak menurut masyarakat Iban tidak boleh dianyam sesuka hati tanpa pandangan orang yang lebih berpengalaman) berdasarkan permintaan pelanggan. 

“Saya masih baru dalam bidang ini namun, sokongan dari keluarga dan orang sekeliling menjadikan saya lebih berani untuk menjual hasil tangan saya,” jelas beliau ketika ditemu bual Utusan Sarawak. 

CABARAN

‘Kalau tidak dipecahkan ruyung, mana kan dapat sagunya’ merupakan barisan kata hikmat yang menggambarkan tekad dan dedikasi Alice bagi memajukan bisnes kecil beliau tersebut. 

“Terdapat beberapa cabaran yang perlu saya tempuhi dalam bidang ini terutamanya dari segi kewangan kerana saya belum bekerja dan dalam masa yang sama saya perlu mengeluarkan modal untuk membeli tali PVC. 

“Kemampuan saya juga pernah diragui kerana umur saya yang masih muda namun, ia tidak mematahkan semangat saya untuk terus mengekalkan seni anyaman ini sekaligus menjadikan ia sumber pendapatan saya. 

“Terima kasih yang tidak terhingga kepada keluarga terutamanya kedua ibu bapa saya yang tidak pernah jemu untuk menjadi tiang penyokong saya di belakang dan mempercayai kebolehan saya,” ujarnya. 

HARAPAN

Dalam kesempatan tersebut, Alice yang merupakan bekas pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Julau menzahirkan harapan untuk terus mendapat sokongan bagi meneruskan usaha beliau tersebut sama ada dari masyarakat sekeliling atau pihak berwajib untuk terus membimbing beliau dalam aris perniagaan. 

“Saya sentiasa mempromosikan tikar-tikar yang telah siap dianyam menerusi media sosial Facebook dan Whatsapp dan saya bersyukur apabila ada seorang dua yang berminat untuk membeli hasil tangan saya. 

“Setakat ini kebayakan pelanggan yang berminat untuk membeli hasil anyaman saya berasal dari daerah yang berdekatan seperti daerah Sibu. 

“Maka, besarlah harapan saya agar semakin ramai masyarakat terutamanya mereka yang pernah membeli ‘tikai anyam bebuah’ saya untuk memberikan kata-kata positif agar saya dapat memperbaiki diri di kemudian hari. 

“Saya juga berharap dengan latihan yang berterusan saya mampu meningkatkan kualiti anyaman saya bagienarik lebih ramai pelanggan di kemudian hari. 

“Dalam masa yang sama, saya berharap seni anyaman ini tidak akan hilang ditelan zan meskipun djnia semakin moden dan pelbagai hiburan diperkenalkan yang mampu menarik minat remaja khasnya,” ujar beliau mengakhiri temu bual tersebut. 

Oleh RYNNA SHA’ERRA