Terus kukuhkan cengkaman

PEMAIN Sri Aman FA meraikan jaringan yang dijaringkan oleh Zharif Yazin menerusi sepakan penalti minit ke-79.

SKUAD Sri Aman FA mengukuhkan cengkaman di kedudukan tangga teratas saingan Liga SSC-FAS 2021 bagi Zon Tengah selepas membenam Sarikei FA 3-0 dalam aksi yang berlangsung di Kompleks Sukan Sri Aman petang kelmarin.

Pasukan bimbingan Sufian Ibrahim dan dibantu Ramos Sari dan Ramles Sari itu setakat ini sudah mencatat empat kemenangan, sekali seri dan mengumpul sebanyak 13 mata di belakang Kapit FA yang mengumpul sebanyak lapan mata.

Dalam pertemuan itu, skuad yang diberi gelaran “The Sleeping Croc” tekad untuk terus memburu rentak kemenangan bagi melebarkan jurang mata dengan pasukan lain manakala Sarikei FA pula mahu bangkit daripada kekecewaan seri menentang Sibu FA, minggu lalu.

Corak permainan berhati-hati dipamerkan kedua-dua pasukan dalam suku pertama permainan dengan masing-masing cuba mencari peluang bagi mendapatkan jaringan.

Tuan rumah mendapat dua peluang keemasan menerusi pemain sayapnya, Awang Shukry Awang Sebini pada minit ke-20 yang melakukan rembatan deras di luar kotak penalti tetapi sekadar melepasi palang gol Sarikei FA.

Disusuli penyerang sensasi Sri Aman FA, Mohd Adif Salim lima minit selepas itu yang melepaskan peluang membuat jaringan tatkala satu lawan satu dengan penjaga gol Sarikei FA, Abang Muhd Hazim yang mudah ditepis keluar.

Kebuntuan jaringan terlerai pada minit ke-32 apabila Mohd Adif bijak manfaatkan ruang hasil hantaran silang Awang Shukry untuk sempurnakan gol padang bagi meletakkan tuan rumah di depan.

Berselang 13 minit selepas itu, Awang Shukry menambah derita Sarikei FA apabila jaringan pada minit-minit akhir separuh masa pertama apabila beliau mudah menewaskan penjaga gol lawan dengan rembatan dari tepi dan keputusan 2-0 kekal hingga tamat.

Bersambung babak kedua pula, Sarikei FA yang dikendali oleh Fadilah Bit mencuba sedaya upaya merapatkan jurang gol, namun kekentalan barisa pertahanan yang diketuai ketua pasukannya, Abang Nur Afirman Abang Norazman berjaya menafikan segala percubaan mereka menembusi benteng tuan rumah.

Asakan keras pertahanan Sarikei FA pada minit ke-79 telah memberikan sepakan penalti buat pasukan tuan rumah. Zharif Yazin Nasaruddin mudah menyempurnakan sepakan penalti dan Sri Aman FA kukuh mendahului 3-0 dihadapan dan kedudukan itu kekal sehingga wisel penamat dibunyikan oleh pengadil perlawanan, Mark Ha Teley.

Keputusan itu menyaksikan Sri Aman FA mengutip 13 mata di kedudukan teratas Zon Tengah dalam saingan Liga SSC-FAS 2021 manakala Sarikei FA kekal di tangga tercorot dengan dua mata selepas mengharungi lima perlawanan.

Oleh ADI SAFARMAN