UTAMAKAN RAKYAT, SARAWAK

“KERAJAAN kita (GPS) tiada agenda tersendiri,bagi saya dan rakan seperjuangan yang lain ialah kita utamakan rakyat dan Sarawak.”-Abang Johari

MIRI: Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan terus memberi keutamaan untuk melindungi hak, kepentingan Sarawak dan rakyatnya.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kerajaan GPS tidak mempunyai agenda tersendiri dalam mentadbir negeri ini.

“Kerajaan kita (GPS) tiada agenda tersendiri, bagi saya dan rakan seperjuangan yang lain ialah kita utamakan rakyat dan Sarawak.

“Ada sesetengah orang, masuk parti keluar parti dan menubuhkan parti baharu kerana mereka mempunyai agenda tersendiri yang belum tercapai dalam parti.

“Saya sudah berada dalam politik sudah 40 tahun, sudah tentu dalam parti ada masalahnya sendirinya tetapi prinsip mesti ada kerana kita bekerja untuk rakyat,” katanya semasa berucap pada Majlis Perasmian Bangunan Baharu Dewan Bandaraya Miri di sini, semalam.

Abang Johari turut menyifatkan parti politik yang berpangkalan di negeri ini yang menggembar-gemburkan kemerdekaan untuk Sarawak sebagai hanya berkhayal dan tidak mampu menunaikan janji mereka berbanding GPS.

“GPS tidak bermimpi, kita akan tunaikan janji sepertimana kami menyampaikan bangunan (Dewan Bandaraya) ini kepada anda hari ini.

Mengimbas kembali, Datuk Bandar MBM Adam Yii yang memohon untuk membina dewan bandar raya baharu semasa majlis makan malam ulang tahun Bandar Raya Miri, Abang Johari berkata, beliau telah menyediakan dana untuk tujuan itu dan kerajaan GPS telah menunaikan janjinya.

Mengenai bangunan baharu itu, beliau berkata, ia melambangkan perpaduan antara Kerajaan Sarawak, kerajaan tempatan dan rakyat Sarawak.

Selain itu, beliau menegaskan perpaduan, keharmonian kaum dan kestabilan politik adalah penting untuk kemajuan dan pembangunan ekonomi Sarawak.

“Tahniah orang Miri kerana memiliki Dewan Bandaraya sendiri tapi apa yang penting kita kekalkan budaya yang ada demi kemakmuran negeri.

Turut hadir, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Dato Sri Dr. Sim Kui, Menteri Pengangkutan Dato Sri Lee Kim Shin,Menteri Utiliti, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, Menteri Muda Pelancongan,Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Sebastian Ting, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Miri, Adam Yii dan bekas Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Dr. George Chan Hong Nam.

Oleh LIONG CHAI LING