Sarawak iktiraf sijil UEC

RASMI SUDAH… Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bersama Lembaga Pengarah Sekolah merakamkan kenangan bersama yang lain di Bangunan RHIS di Miri, semalam.

MIRI: Kerajaan Sarawak akan terus mengiktiraf Sijil Pendidikan Bersatu (UEC), kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di sini semalam.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pembukaan Sekolah Menengah Riam Road Akademik dan Pentadbiran Blok Baru serta Sekolah Antarabangsa Riam Hill (RHIS).

Katanya, Kerajaan Sarawak juga menyediakan bantuan kewangan setiap tahun kepada sekolah Cina di negeri ini.

“Ini akan membuka lebih banyak pilihan kepada pelajar Sarawak untuk melanjutkan pelajaran ke sekolah menengah dalam mata pelajaran pilihan mereka.

“RHIS akan menjadi tarikan kepada pelajar yang berminat untuk mendapatkan sijil Cambridge yang diiktiraf di peringkat antarabangsa yang diiktiraf oleh universiti ternama di dunia,” jelasnya.

Sementara itu, Pengerusi Bersama Lembaga Sekolah Dato’ Sri Law Kiu Kiong berkata, RHIS ini merupakan satu pencapaian penting dalam bidang pendidikan di Miri.

Beliau menambah bahawa RHIS sebagai sekolah antarabangsa terkemuka untuk menarik pelajar dari Sabah, Semenanjung Malaysia atau Singapura selain dari Sarawak.

“Pembinaan RHIS ini telah mendapat dana bantuan daripada orang ramai di sekitar Bahagian Miri dan bernilai RM5 juta.

“Sehubungan itu, terima kasih kepada dermawan yang telah menyumbang dana sehingga RHIS ini berjaya diadakan,” ujarnya.

Turut hadir, Menteri Kerajaan Temptan dan Perumahan Dato Dr Sim Kui Hian, Menteri Pengangkutan Dato Sri Lee Kim Shin dan Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Sebastian Ting dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sekolah Menengah Riam Road, Dr. Pauline Ho.

Oleh ADUM LIU