Video bersiri tingkatkan daya tarikan pelancongan

PELANCARAN… Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah (tiga, kanan) melakukan simbolik pelancaran sambil disaksikan oleh Pengerusi Persatuan Agensi Masuk Sarawak (ASIA), Philip Yong, (dua, kiri) dan Setiausaha Tetap MTAC, Hii Chang Kee.

KUCHING: Projek video bersiri bertajuk Pengalaman 360 Sarawak merupakan inisiatif penting dalam Pelan Pemulihan Destinasi Pasca-Covid Sarawak bagi meningkatkan daya tarikan pelancongan di Sarawak kepada pelancong luar.

Dilancarkan oleh Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan (MTAC), Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah semalam, video bersiri menggunakan teknologi video interaktif 360 itu akan disiarkan melalui saluran media sosial Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) dan Persatuan Agensi Masuk Sarawak (ASIA).

Menurut Karim, objektif utama projek itu adalah untuk mencipta kandungan Sarawak yang segar menggunakan teknologi video interaktif 360 untuk meningkatkan penglibatan dengan khalayak dalam talian di seluruh dunia.

“Sarawak 360 Experience: Stories from the Heart” adalah kisah mengenai keunikan dan keindahan Sarawak terutama destinasi pelancongan yang akan dikongsikan oleh mereka yang bekerja dalam sektor pelancongan di negeri ini.

“Melalui projek ini, penonton akan disajikan dengan cerita peribadi yang menarik menggunakan teknologi video 360 yang mengasyikkan selain pengalaman perjalanan serta aspirasi pekerja pelancongan Sarawak bagi mendepani masalah pandemik Covid-19,” katanya.

Tambah Menteri Belia dan Sukan itu lagi, sebanyak 10 episod akan disiarkan kepada penonton merangkumi tarikan pelancongan paling terkenal di Sarawak dengan lima hingga tujuh minit setiap episod.  

Mengulas lanjut katanya, episod pertama bertajuk Orang Utan Semenggoh, diikuti episod kedua, Berkayak Semadang, episod ketiga, Berbasikal Kuching, (4) Taman Negara Bako, (5) Kraftangan Tanoti, (6) Rumah Panjang Batang Ai, (7) Sibu dan Wilayah Tengah, (8) Miri Diving, (9) Mulu and the Pinnacles serta (10) Homestay Bario.

“Siri video 360 akan menampilkan dua hos tempatan berbakat iaitu Sharifah Arafah dan Larrisa Ping serta 10 wira pelancongan tempatan iaitu park renjer dengan pengalaman hampir 20 tahun bersama orang utan di Semenggoh, pemandu berbasikal tempatan Kuching dari Kampong No. 6, pakar tenun tempatan dari Tanoti Handicraft dan ramai lagi.

“Musim satu akan menyiarkan sebanyak lima episod di dalam dan sekitar Kuching dengan episod pertama disiarkan secara langsung semalam (15 November) dan episod selebihnya akan dilancarkan setiap dua minggu. Manakala musim dua nanti akan bermula pada Februari 2022,” ujarnya.

Oleh SYAMIMI HUSNA