Persaingan dalam Pilihan Raya 1970

DR. SUFFIAN MANSOR

PILIHAN raya merupakan medan parti-parti politik cuba mendapat undi rakyat. Kebiasaannya akan berlaku pertandingan antara parti memerintah dengan parti pembangkang. Namun, di Melaka dalam pilihan raya kali ini, berlaku pertembungan bukan setakat antara parti memerintah dan pembangkang, tetapi antara parti-parti dalam kerajaan, iaitu Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).

Keadaan serupa pernah juga berlaku dalam pilihan raya di Sabah pada tahun lepas apabila parti komponen kerajaan bertemu antara satu dengan lain. Pertembungan di Sabah ini tidak sengit jikalau dibandingkan dengan di Melaka kerana tidak semua kerusi dalam pilihan raya di Sabah itu menyaksikan pertembungan antara mereka.

Sejarah tentang pertembungan antara sesama kompenan ini bukanlah satu yang baharu.  Situasi sedemikian pernah berlaku di Sabah pada Pilihan Raya Negeri pertama selepas merdeka pada tahun 1967. Ketika itu, komponen parti di Sabah bertembung dalam apa yang dikenali sebagai pertandingan mesra.

Di Sarawak juga, keadaan ini pernah juga berlaku antara parti kompenan dalam kerajaan.  pilihan raya 1970, adalah pilihan raya pertama menyaksikan kompenan parti kerajaan dalam Kerajaan Negeri bertembung antara mereka.

Latarbelakang Parti

Parti yang membentuk kerajaan negeri ketika itu dikenali sebagai sebuah gabungan parti tempatan, iaitu Perikatan Sarawak. Parti ini dianggotai oleh Parti Bumiputera, Pesaka Anak Sarawak (PESAKA) dan Sarawak Chinese Association (SCA).

Manakala pembangkang ketika itu ialah Sarawak National Party (SNAP) dan Sarawak United People’s Party (SUPP). Namun demikian, kedua-dua parti ini tidak membentuk pakatan melawan Perikatan Sarawak.  Atas sebab itu, mereka bertembung antara satu sama lain pada pilihan raya 1970.

Kegagalan Rundingan

Sementara itu, Perikatan Sarawak yang memerintah menampakkan persaingan antara parti kompenan dalam pilihan raya 1970. Pesaka dan Bumiputera tidak mempunyai kata sepakat dalam pengagihan kerusi. Akibatnya, kedua-dua parti ini bersaing antara satu dengan yang lain.

Pilihan raya 1970 sebenarnya pilihan raya yang tertunda. Sepatutnya pilihan raya di Sarawak ini diadakan pada tahun 1969, bersama dengan pilihan umum di Malaysia. Namun demikian, pilihan raya ini digantung kerana rusuhan kaum di Kuala Lumpur. Kerajaan mengambil keputusan menggantung pilihan raya 1969 dan diadakan semula pada tahun 1970.

Akibat daripada kegagalan rundingan pembahagian kerusi itu maka, mereka bertanding sesama sendiri di 17 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). Untuk Parlimen pula, kedua-dua parti ini bertembung di enam kerusi.

SCA pula tersepit dalam masalah ini dan terpaksa juga berdepan dengan Pesaka apabila Pesaka menentang calon SCA di N26 Binatang dan P141 Bintulu. SCA dan Bumiputera pula tidak mempunyai masalah pembahagian kerusi dan tiada pertembungan antara kedua-dua parti komponen tersebut. 

Apa yang peliknya, dalam pilihan raya ini adalah tindakan PESAKA meletak dua calon mereka di N31 Balingian dan N32 Oya.  Setakat ini tidak pernah dalam sejarah pilihan raya di Malaysia parti politik meletak dua calon mereka untuk bertanding satu kerusi DUN ataupun Parlimen. 

Sebab mereka meletakkan dua calon ini tidak dapat dipastikan sebenarnya.  Boleh juga kita mengandaikan usaha ini adalah usaha untuk memecahkan undi pihak lawan.

Dalam pilihan raya tersebut, Pesaka menggunakan lambangnya sendiri. Manakala Bumiputera dan SCA menggunakan lambang Perikatan Sarawak. Parti-parti kompenan ini juga terpaksa berdepan pula dengan SUPP dan SNAP serta beberapa orang calon bebas pihak lawan. 

Apabila pilihan raya Sarawak digantung pada tahun 1969 dan disambung semula pada tahun 1970, calon yang bertanding tidak berubah. Hanya ada dua calon yang meninggal dunia dan calon-calon tersebut telah digantikan.

Keputusan Pilihan Raya

Perlawanan antara parti dalam Perikatan Sarawak ini menghasilkan keputusan yang buntu apabila tiada satu parti mendapat majoriti kerusi. Bumiputera, SUPP dan SNAP masing-masing memperolehi 12 kerusi DUN. Manakala Pesaka hanya memenangi lapan kerusi dan SCA pula tiga kerusi.

Keputusan pilihan raya itu menunjukkan pertembungan antara parti kompenan Perikatan Sarawak itu gagal meraih kerusi majoriti dengan hanya memperoleh 23 kerusi jika dicampur kesemua kerusi yang dimenangi oleh parti-parti kompenan tersebut. Manakala SUPP dan SNAP menguasai 24 kerusi. Satu kerusi pula dimenangi oleh calon bebas.

Bagi kawsan Parlimen pula, lima kerusi dimenangi oleh Bumiputera dan dua oleh SCA. Pesaka pula hanya mendapat dua kerusi. SUPP mendapat tujuh kerusi. SNAP paling banyak memenangi kerusi Parlimen, iaitu sembilan kerusi. Satu kerusi dimenangi oleh calon bebas.

Jikalau diamati dengan lebih mendalam tentang corak pengundian dalam pilihan raya ini menunjukkan Perikatan Sarawak mampu menang dengan agak selesa jikalau tidak adanya pertembungan antara mereka. Dalam perkiraan undi dicampur antara parti-parti kompenan tersebut, mereka mampu menambah tiga kerusi. Hal ini membolehkan Perikatan Sarawak mampu membentuk kerajaan dengan majoriti mudah, iaitu 26 kerusi. 

Namun demikian, keadaan ini tidak berlaku. Akhirnya membawa kepada jajaran baharu dalam politik Sarawak pada tahun tersebut.

Jajaran Baharu

Kebuntuan membentuk Kerajaan Negeri pada ketika itu membawa kepada dua jajaran yang dirancangkan. Pertama adalah jajajaran SUPP, SNAP dan PESAKA membentuk kerajaan negeri. Ketiga-tiga parti ini mampu mendapat 32 kerusi. 

Rundingan antara pemimpin parti ini telah digerakkan sejak keputusan pilihan raya dibuat.  Namun demikian, tiada kata muktamat tentang pembentukan kerajaan negeri mengikut jajaran ini.

Manakala jajaran kedua pula adalah Bumiputera dan SUPP membentuk 24 kerusi.  Manakala SCA membantu menambah tiga kerusi yang membolehkan 27 kerusi menyokong jajaran baharu ini. Jajaran kedua ini lebih meyakinkan kerana  mendapat sokongan daripada Kerajaan Pusat ketika itu. 

Akhirnya, jajaran kedua dipilih untuk membentuk kerajaan baharu dengan Abdul Rahman Ya’akub menjadi Ketua Menteri baharu. Pesaka kemudiannya dijemput menyertai kerajaan baharu ini. Penyertaan Pesaka mengukuhkan lagi kedudukan Kerajaan Negeri ketika itu.

Secara tuntasnya, sejarah persaingan parti politik antara parti kerajaan bukanlah satu perkara baharu. Hal ini telah melakar sejarah sejak akhir tahun 1960-an lagi. Persaingan ini membawa kepada perubahan landskap politik di Sarawak yang mematangkan kepimpinannya sehingga ke hari ini.

Dr. Suffian Mansor ialah Pengerusi Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan,  Universiti Kebangsaan Malaysia.