GPS bersedia hadapi PRN-12

PENGHARGAAN… Dato Gerawat Gala menerima cenderamata daripada Tuai Rumah Philip Bayu, Seri Upar pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Marudi.

MARUDI : Pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak menuntut penyokong Gabungan Parti Sarawak (GPS) bersedia menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12)

Timbalan Speaker DUN Negeri Sarawak yang juga penyandang kerusi Mulu Dato Gerawat Gala, memberi nasihat kepada pengundi supaya mematuhi Prosedur OperasiSstandard (SOP) memandangkan negara masih berdepan pandemik Covid-19.

“Kita masih lagi dalam fasa ketiga pandemik Covid-19. Meskipun kita telah diberi sedikit kelonggaran, namun perlu diingat keselamatan harus dijaga,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan apabila rakyat membuang undi, rakyat perlu bijak memilih dengan mengundi parti yang mempunyai komitmen kepada rakyat dengan menterjemah memberi sokongan kepada calon GPS.

“Kenapa perlu menyokong GPS?… kerana dalam beberapa tahun sahaja parti gabungan itu telah membuktikan kemampuannya mentadbir Sarawak dengan baik sekali sejak 2018,” jelasnya.

Menurut beliau, apabila GPS mengambil alih Kerajaan Sarawak, GPS mampu memperuntukan pembelanjaan yang terbesar dalam sejarah iaitu RM11.2 bilion pada 2019 dan RM10 bilion pada 2020 dan ini menunjukkan kerajaan GPS mampu walaupun menghadapi banyak cabaran.

“Ini juga telah membuktikan kerajaan GPS telah menghulurkan pelbagai bantuan dari segi kewangan dan dalam bentuk lain.

“Sarawak telah berbelanja lebih RM3 bilion untuk membantu rakyat semasa dilanda Covid-19 dan ini menunjukkan GPS mampu menjaga rakyat ” tambah Gerawat.

Ujarnya, sudah menjadi budaya pembangkang sentiasa membuat ‘bising’ apabila menjelang PRN-12 dan menghasut rakyat untuk membenci kerajaan supaya rakyat berpihak kepada mereka.

“Pihak pembangkang juga sering menabur janji, walaupun janji itu belum pasti dapat dilaksanakan dan rakyat jangan mudah tertipu dengan janji mereka,” katanya.

Justeru, rakyat perlu memberi tumpuan kepada kerajaan sekarang yang mana terbukti GPS mampu mentadbir Sarawak.

Beliau berharap rakyat jangan mudah terpedaya dan percaya dengan semua janji dan kritikan pembangkang kerana mereka hanya muncul apabila menjelang PRN-12 dan menghilangkan diri selepas itu.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Philip Bayu di Seri Upar, baru-baru ini.

Beliau juga berpuas hati dengan pencapaian penduduk Rumah Philip atas kejayaan membina rumah pajang baharu mereka.

Katanya, meskipun rumah panjang itu hanya sementara sebelum berpindah ke kawasan yang lebih tinggi, namun hasil kerjasama tuai rumah dan penduduk membuahkan hasil membanggakan.

“Saya memberi sokongan kepada penduduk rumah panjang ini untuk berpindah ke kawasan yang sudah dikenal pasti bagi mengelak dilanda banjir yang sering berlaku,” tambah Gerawat.

Turut hadir Pemanca Randie Bundan, Penghulu Hillay Tawan, para tuai rumah, Kaunselor Yanti Nyanggau dan barisan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) diketuai Usat Bilong.

Oleh JIKU JUGUONG