Masalah bekalan air dapat perhatian

ADENG IDRUS

LAWAS: Kekecewaan penduduk Lawas dengan perkhidmatan Jabatan Bekalan Air Luar Bandar(JBALB) Lawas mendapat perhatian Residen Bahagian Limbang Ir Ahmad Denney Ahmad Fauzi.

Beliau yang dihubungi media turut kecewa dan memberi jaminan akan mengambil perhatian serius perkara ini kerana masalah bekalan air bersih penting untuk rakyat pada masa mereka berkurung di rumah masing-masing.

Ir Ahmad Denney memberitahu bahawa beliau telah lama memantau perkembangan JBALB Lawas dan mendapati sikap sesetengah pegawai sebagai faktor besar kepada berbagai isu air di Lawas.

Residen Bahagian Limbang itu juga tidak dapat menerima alasan kehabisan bekalan minyak diesel sebagai alasan.

Sepatutnya pihak berkenaan atau mana-mana agensi perlu mempunyai prosedur operasi standard(SOP) dalam perkara bekalan bahan api atau sebagainya.

Oleh itu beliau memohon agar penduduk terjejas di Lawas untuk bersabar dan beliau akan memastikan perkara ini diberi perhatian segera untuk tindakan.

Bekalan air terputus di Lawas sejak awal pagi semalam ekoran kehabisan minyak diesel untuk enjin pam di loji rawatan air Trusan.

Manakala sambungan bekalan air pagi ini mendapati kualiti air amat kotor dan tidak boleh digunakan langsung untuk membersih diri dan pakaian.

Majoriti penduduk daerah Lawas mendapatkan bekalan air untuk makan dan minum daripada air yang dibeli di kedai-kedai.

Ini berikutan keyakinan rakyat terhadap tahap kualiti air di Lawas telah hilang sejak beberapa tahun lalu.

Respon masyarakat yang ditemui secara purata memberitahu, kualiti air yang kotor dan keadaan bekalan air yang  tidak konsisten sama bahaya dengan senario wabak yang melanda negara.

Oleh itu, ramai berharap ‘wabak’ dalam JBALB Lawas dapat diatasi kerana jutaan ringgit peruntukan telah diumum oleh kerajaan untuk menyelesaikan isu air yang tidak pernah selesai.