Misi MATRADE ke Myanmar jangka jana jualan RM22.4 juta

“Syarikat-syarikat Malaysia yang mengambil bahagian mempunyai cadangan nilai unik untuk ditawarkan kepada rakan kongsi Myanmar yang berpotensi.Antara bidang utama yang ditawarkan ialah bandar pintar hijau, reka bentuk bangunan bersepadu serta pengurusan projek mesra alam.”-Idzham Abdul Hamid

KUALA LUMPUR: Misi pecutan eksport (EAM) Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) ke Yangon, Myanmar dijangka menjana jualan sebanyak RM22.4 juta.

EAM tersebut merupakan kerjasama antara MATRADE dengan Konfederasi Penyedia Perkhidmatan Malaysia (MSPC) sebagai sebahagian daripada usaha berterusan untuk mempromosikan keupayaan Malaysia dalam sektor perkhidmatan profesional.

Pengarah Bahagian Pembinaan dan Perkhidmatan Perniagaan MATRADE, Idzham Abdul Hamid berkata, Myanmar adalah pasaran yang menarik, yang menawarkan peluang perniagaan yang besar untuk perkhidmatan berkaitan pembinaan dan profesional Malaysia ketika negara itu bergerak maju ke arah pembangunan bandar yang mampan.

“Syarikat-syarikat Malaysia yang mengambil bahagian mempunyai cadangan nilai unik untuk ditawarkan kepada rakan kongsi Myanmar yang berpotensi. Antara bidang utama yang ditawarkan ialah bandar pintar hijau, reka bentuk bangunan bersepadu serta pengurusan projek mesra alam,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Misi itu memberi peluang kepada syarikat Malaysia bagi mengembangkan jejak mereka di pasaran dan membina perkongsian perniagaan dengan komuniti perniagaan Myanmar di tengah-tengah ketidakpastian dalam persekitaran perniagaan akibat pandemik Covid-19.

EAM yang bersifat hibrid yang berlangsung dari 9 hingga 11 November ini, membawa 11 penyedia perkhidmatan Malaysia dalam bidang seni bina mampan yang berkaitan dengan perancangan perumahan dan bandar, pemodelan maklumat bangunan, penyelesaian kejuruteraan, pengurusan kemudahan, kejuruteraan geoteknik, penyelesaian pembinaan konkrit pratuang, kawalan hakisan serta produk bio-kejuruteraan, perundingan keselamatan jalan raya, perancah dan penyelesaian kerja bentuk.

Sejumlah 36 mesyuarat perniagaan dalam talian, 11 sesi padanan interaktif, dua lawatan tapak secara maya termasuk webinar teknikal telah dijalankan sepanjang acara tiga hari itu.

Hasil positif misi ini memberi isyarat kerjasama yang baik dalam mengukuhkan hubungan perdagangan dan ekonomi antara kedua-dua negara.- Bernama