CSO berperanan penting

“Kerjasama kerajaan dengan CSO adalah amat penting, khususnya dalam memastikan semua individu di bawah kendalian mereka mendapat sokongan yang diperlukan.” – Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz

KUALA LUMPUR: Kerajaan menganggap Pertubuhan Masyarakat Sivil (CSO) memainkan peranan penting dalam tempoh-tempoh pemulihan Covid-19, terutama menerusi pelaksanaan langkah-langkah Bajet 2022 bagi memperkasa masyarakat terbabit.

Sehubungan itu, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, kerjasama kerajaan dengan CSO adalah amat penting, khususnya dalam memastikan semua individu di bawah kendalian mereka mendapat sokongan yang diperlukan.

“CSO dan perusahaan sosial adalah pihak berkepentingan utama dalam usaha negara untuk pulih. Ini berikutan kedua-dua pihak ini mempunyai akses lebih baik serta berkesan ke atas kelompok masyarakat, sekali gus membolehkan usaha pelaksanaan yang lebih khusus dan sewajarnya.

“Ringkasnya, pertubuhan sivil ini adalah rakan pembangunan utama bagi kerajaan,” katanya ketika menyampaikan ucap tama pada acara Forum Hasanah 2021 secara maya, semalam.

Menurut Tengku Zafrul, kepentingan peranan pertubuhan sivil yang sering dianggap sebagai ‘sektor ketiga’ juga semakin ketara sejak bermulanya pandemik Covid-19.

Malah, ketika kemuncak pandemik itu, kerajaan telah mewujudkan Geran Khas Hasanah (HSG) yang menjadi sebahagian daripada Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dengan matlamat menyokong program yang dapat meningkatkan kualiti hidup masyarakat dan daya tahan sosioekonomi golongan B40, termasuk kanak-kanak, warga pelarian, Orang Asli, warga emas dan gelandangan.

“Ini dilaksanakan menerusi kerjasama dengan CSO dalam bidang pendidikan, menyokong aspek mata pencarian atau sumber pendapatan dan menyalurkan bantuan makanan secara langsung, terutama ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Di bawah kerjasama ini, HSG setakat ini telah memperuntukkan sejumlah RM50 juta dalam dua fasa.

“Sebanyak 110 projek telah berjaya dilaksanakan pada fasa pertama dan ada di antara projek tersebut telah disenaraikan untuk diperluaskan supaya lebih banyak manfaat dapai dikongsi dengan komuniti,” katanya.

Menurut Tengku Zafrul, 110 projek terbabit itu merangkumi 140,000 penerima manfaat, sebahagian besarnya daripada komuniti mudah terjejas dan kira-kira 400 haiwan terancam bagi tujuan dijaga dan dipelihara.

Berikutan itu katanya, kerajaan berharap untuk meneruskan serta memperkukuh kerjasama dengan CSO bagi memanfaatkan kepakaran serta jangkauan pertubuhan itu.

Beliau berkata, sebagai mengiktiraf peranan penting CSO, pada tahun depan sejumlah RM100 juta akan disalurkan dalam bentuk geran padanan dengan yayasan milik syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bagi usaha membabitkan bidang utama yang digariskan dalam Bajet 2022.

Ini termasuk memperkukuh aspek kesihatan mental dan perkhidmatan sokongan sosial, pendidikan selepas persekolahan, penjanaan pendapatan untuk golongan mudah terjejas, dan memulihara warisan seni dan budaya.

Tengku Zafrul berkata, dalam usaha memupuk ekosistem pengumpulan dana yang mampan dan pesat berkembang, Bajet 2022 turut menyediakan insentif dalam bentuk pengecualian cukai bagi pendapatan perusahaan sosial sehingga tiga tahun taksiran yang tertakluk kepada Akreditasi Perusahaan Sosial daripada pihak berkuasa berkaitan.

Menurutnya, langkah itu akan menyokong perusahaan sosial untuk mampan secara kewangan dalam misi mewujudkan impak sosial atau alam sekitar yang positif.

“Kita juga bekerjasama dengan Yayasan Keluarga Malaysia untuk menyediakan serta melindungi aspek kebajikan, pendidikan dan masa depan kanak-kanak yang menjadi yatim piatu akibat Covid-19.

“Sudah pasti, senarai ini belum menyeluruh dan kerjasama dalam bidang berpotensi lain yang turut merangkumi kerja-kerja sosial, program-program bagi sumber pendapatan dan kebertanggungjawaban sosial,” katanya.- Bernama