Restoran Asia 2021 pamer cita rasa Sarawak

PELBAGAI…Antara produk jenama Sarawak yang akan dipamerkan pada Acara Lawatan ke Restoran Asia 2021 nanti.

Acara Lawatan ke Restoran Asia 2021 dilihat sebagai platform terbaik dalam mempromosikan produk kulinari Sarawak kepada dunia luar sekali gus menyumbang kepada peningkatan industri pelancongan di negeri ini.

Diadakan di Pusat Konvensyen dan Pameran Ekspo Marina Bay Sands di Singapura bermula 18 hingga 20 November, kesemua pengunjung akan merasai sendiri pengalaman baharu keunikkan cita rasa masakkan masyarakat di Sarawak yang berbilang kaum.

Pelbagai produk jenama Sarawak akan dipamerkan termasuk pes Laksa Sarawak, ketam kulit lembut, sarang burung, sambal ikan salai, madu Borneo, beras bewarna Kenyalang, teh tempatan serta produk lada.

Pengurus Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sarawak Singapura (STATOS), TC Tan memberitahu, acara berkenaan merupakan anjuran daripada Persatuan Restoran Singapura dengan kerjasama Perkhidmatan Pengurusan Persidangan dan Pameran.

Katanya, acara itu bakal menggabungkan acara- acara antarabangsa seperti ‘Coffee Tea Asia’, ‘Café Asia’ serta ‘Sweets and Bakes Asia’ 2021 selain mempamerkan produk perdagangan yang membolehkan pembeli melihat, mengalami, menguji serta merasai produk Industri Makanan dan Minuman (F&B) dari Sarawak.

“Ini adalah masa yang tepat untuk Sarawak mendapatkan tempahan eksport baharu selari dengan pengumuman Kuching mendapat pengiktirafan sebagai Bandar Gastronomi Kreatif daripada Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).  

“Kami gembira kerana enam wakil industri akan menyertai kami secara peribadi pada pameran pertama ini sejak penularan pandemik Covid-19 tahun lalu manakala sejumlah 20 syarikat lagi telah memberikan sampel produk dan maklumat mereka kepada kami,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Dalam pada itu, beberapa produk yang dipamerkan katanya, juga sudah tersedia di Singapura kecuali Bakery Fats dan Terung Asam kini dalam proses sedang dieksport pertama kali ke Singapura.

Dalam pada itu kata TC, STATOS juga dapat menyediakan ruang gerai fizikal percuma dan pemasaran dalam talian melalui pameran maya untuk Syarikat Pengeluaran Makanan Sarawak yang layak dan berminat yang disediakan oleh Kerajaan Sarawak.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif STATOS, Chew Chang Guan berkata, acara pameran berkenaan merupakan satu lagi platform untuk STATOS memudahkan serta menyokong usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) tempatan meluaskan perniagaan ke pasaran antarabangsa.  

Jelasnya, STATOS sentiasa komited dalam usaha mencari produk baharu untuk dipamerkan kepada dunia luar.

“Bagi mereka yang terlepas dalam Restaurant Asia 2021 nanti digalakkan untuk menghubungi STATOS kerana masih banyak lagi acara yang akan datang bakal diadakan nanti,” ujarnya.

STATOS merupakan inisiatif baharu Kerajaan Sarawak dalam usaha mengukuhkan dan membangunkan hubungan perdagangan, pelaburan dan pelancongan baharu antara Singapura, Sarawak dan seluruh dunia.  

Oleh SYAMIMI HUSNA