Malaysia, AS meterai kerjasama bersama tingkatkan kolaborasi

PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (dua, kiri) menerima kunjungan hormat Setiausaha Perdagangan Amerika Syarikat Gina Raimondo (dua, kanan) di pejabatnya di bangunan parlimen, Kuala Lumpur, semalam. Turut hadir, Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (kiri). • Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) telah menandatangani kenyataan bersama yang menyentuh mengenai kepentingan untuk meningkatkan kerjasama masa hadapan dalam aspek yang berkaitan dengan pemampanan perdagangan, pelaburan, fasilitasi industri dan hubungan dan kerjasama teknikal.

Dalam satu kenyataan semalam, Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, kedua-dua negara bersetuju untuk berkolaborasi dalam bidang seperti produk pengawalan perubahan iklim, perdagangan digital, peranti perubatan dan elektrik dan elektronik.

“Selanjutnya, kedua-dua negara bersetuju untuk saling berkolaborasi dengan rakan kongsi industri untuk meningkatkan kerjasama dalam ketelusan, keselamatan dan daya tahan rantaian bekalan semikonduktor,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat meja bulat semikonduktor bersama-sama dengan Setiausaha Perdagangan AS Gina Raimondo bersempena lawatan rasmi beliau ke Malaysia, semalam.

Azmin berkata pada sesi meja bulat itu, syarikat-syarikat semikonduktor terkemuka yang mengambil bahagian telah menyatakan pandangan yang tertumpu kepada tiga bidang utama iaitu kesan Covid-19 ke atas rantaian bekalan global; kesan pandemik terhadap syarikat semikonduktor Malaysia di peringkat domestik dan serantau; dan langkah ke hadapan untuk Malaysia meningkatkan daya tahannya dalam rantaian bekalan global serta peranan AS dalam memperkukuh usaha ini.

Mengenai lawatan rasmi Raimondo ke Malaysia, Azmin berkata, ia memperlihatkan hubungan ekonomi Malaysia-AS yang utuh serta hubungan dua hala yang dinamik di antara kedua-dua negara yang telah dibina sejak beberapa dekad yang lalu.

“Lawatan ini adalah signifikan kerana merupakan lawatan pertama oleh Pegawai Kanan Kabinet di bawah pentadbiran Biden-Harris yang telah meletakkan fokus yang kuat ke atas polisi ekonomi asing yang berpaksi kepada prinsip berteraskan peraturan dalam sistem perdagangan pelbagai hala,” katanya.

Beliau menambah lawatan sulung Raimondo ini dimulakan dengan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, menyaksikan mereka berkongsi pandangan mengenai pelbagai perkara termasuk pandemik Covid-19 dan pemulihan ekonomi.

“Susulan kepada kunjungan hormat itu, Raimondo dan saya telah mengadakan mesyuarat dua hala yang melibatkan perbincangan mengenai pembangunan kerjasama dalam bidang-bidang baharu termasuk ekonomi digital dan teknologi hijau.

“Dalam hal ini, kami berbincang tentang langkah terbaik bagi AS dan Malaysia untuk meningkatkan usahasama dalam inisiatif penyahkarbonan dan langkah-langkah dalam aspek kelestarian,” katanya.

Azmin berkata, kedua-dua pihak bersependapat bahawa rintangan Covid-19 telah menyebabkan kerumitan dan melemahkan rantaian bekalan global sehingga memerlukan usaha yang lebih kukuh dalam membina daya tahan rantaian bekalan.

Justeru, beliau berkata, perbincangan itu turut menyentuh tentang kekurangan cip global dan kepentingan kesalinghubungan dalam kepelbagaian ekonomi.

“Malaysia dan AS bersetuju bahawa kedua-dua negara perlu meningkatkan kerjasama ekonomi secara menyeluruh berikutan kepentingan Malaysia dan AS dalam rantaian bekalan global bagi sektor ini,” kata beliau.

Berkenaan dengan langkah-langkah mendepani pandemik, beliau berkata, kedua-dua pihak bersetuju bahawa kerjasama global adalah kunci untuk memastikan ekonomi kekal di landasan yang betul dan bebas daripada krisis.- Bernama