Dua terbunuh, lima cedera dalam letupan

ORANG ramai berkumpul berdekatan bas mini yang musnah selepas letupan yang menyebabkan dua terbunuh dan lima cedera di Kabul, Afghanistan.• Foto AFP

KABUL: Sekurang-kurangnya dua terbunuh dan lima cedera dalam letupan bom yang membabitkan sebuah bas mini di ibu negara Afghanistan pada Rabu lalu, kata pegawai, serangan terbaharu yang didakwa oleh pejuang jihad di Kabul.

Menurut pegawai Taliban, etupan itu memusnahkan kenderaan di Dasht-e-Barchi yang terletak di pinggir bandar yang didominasi oleh minoriti Syiah Hazara.

“Maklumat awal kami menunjukkan bom itu dipasang pada bas mini. Kami telah melancarkan siasatan,” katanya.

Pegawai Taliban yang berbeza memberikan pelbagai laporan mengenai korban.

Dalam pada itu, seorang kakitangan AFP berada berhampiran tempat kejadianketika bom itu meletup.

“Saya mendengar satu letupan besar… apabila saya melihat sekeliling sebuah bas mini dan sebuah teksi sedang terbakar.

“Saya juga melihat ambulans bergegas ke kawasan itu untuk membawa mereka yang cedera dan maut ke hospital,” katanya.

Negara Islam-Khorasan (IS-K) mengaku bertanggungjawab berkata, di saluran Telegramnya bahawa dua letupan berasingan membunuh dan mencederakan lebih 20 orang murtad.

Negara Islam (IS) menggunakan istilah untuk merujuk kepada Syiah.

Pada minggu lalu, seorang wartawan terbunuh dan sekurang-kurangnya empat orang lagi cedera apabila sebutir bom memusnahkan sebuah lagi bas mini di kawasan sama, dalam serangan yang turut didakwa IS-K.

Pejuang jihad telah meningkatkan operasi sejak Taliban kembali berkuasa pada Ogos lalu dan awal bulan ini menyerbu Hospital Tentera Nasional di bandar itu, membunuh sekurang-kurangnya 19 orang dan mencederakan lebih 50 yang lain.

Kumpulan itu juga telah mendakwa beberapa serangan di bandar Jalalabad, ibu kota wilayah Nangarhar timur dan sarang aktiviti IS-K. -AFP