KSL mampu majukan sukan sepak takraw

KERJASAMA yang dilaksanakan antara Persatuan Sepak Takraw (PSS) Sarawak dan Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) disifatkan sebagai langkah terbaik dalam memajukan sukan sepak takraw di negeri ini.

Menteri Belia dan Sukan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata Kejohanan Liga Sepak Takraw Kenyalang (KSL) yang dilaksanakan dua badan induk itu merupakan penanda aras awal menjadikan Sarawak sebagai kuasa sukan pada masa akan datang.

“Saya percaya saingan yang berlangsung ini memperlihatkan komitmen dua badan induk tersebut memastikan sukan sepak takraw ini terus mendapat tempat di hati generasi muda.

“Justeru, saya berharap lebih ramai pemain dipilih mewakili Sarawak pada kejohanan peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa

“Dalam pada itu, laluan ini juga boleh dijadikan pemangkin kepada kejohanan yang lebih besar seperti Kejohanan Sepak Takraw Piala Sarawak atau Piala Borneo,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Perasmian KSL di Pusat Akuatik Pandelela Rinong, di sini, semalam.

Malah, katanya KSL juga dilihat dapat mengenal pasti pemain berbakat di negeri ini.

“Penganjuran kejohanan ini dalam masa yang sama dapat membentuk pasukan takraw Sarawak yang lebih mantap.

“Hal ini kerana liga ini merupakan kesinambungan khusus buat pemain meneruskan minat mereka terhadap sukan sepak takraw,” ujarnya.

Beliau yang juga Menteri Pelancongan Kesenian dan Kebudayaan mendedahkan kejohanan liga tersebut diadakan dalam dua pusingan.

“Pusingan awal diadakan pada Oktober hingga November yang melibatkan 32 pasukan dari setiap zon. 

“Zon yang terlibat adalah seperti Kuching, Samarahan, Sri Aman, Mukah, Sibu, Miri dan Limbang.

“Pusingan akhir pula akan melibatkan dua pasukan pada setiap bahagian yang akan diadakan pada hujung tahun ini di Kuching,” tambahnya.