MANFAAT KEPADA RAKYAT

PERASMIAN…. Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg merasmikan Majlis Pecah Tanah Jambatan Sungai Sarawak, Sejingkat dan Jalan Utama Kedua Kuching-Samarahan, Demak Laut semalam.• Foto HERRIEY NAHA

KUCHING: Projek pembinaan jambatan Sungai Sarawak, Sejingkat dan Jalan Utama Kedua Kuching-Samarahan akan memberi manfaat kepada penduduk kawasan sekitarnya.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, Kerajaan Sarawak membelanjakan RM11 bilion bagi keseluruhan rangkaian jalan pesisir dan jajaran jalan utama kedua termasuk 14 jambatan.

Menurutnya, kerja-kerja pembinaan tersebut akan mengambil masa enam tahun untuk disiapkan mulai tahun ini hingga tahun 2026.

“Apabila kita merancang membangun jambatan seperti ini, kita melihat juga keadaan kesan apabila kita membina jambatan dan jalan raya kepada penduduk di sekitar kawasannya.

“Apabila kita melihat Samarahan membangun, dekat sana ada dua universiti (Universiti Malaysia Sarawak dan Universiti Teknologi Mara), Pusat Jantung, Taman Teknologi Tinggi dan terbaru ialah pembinaan Pusat Penyakit Berjangkit Sarawak (SIDC) untuk membuat kajian berkaitan dengan penyakit berjangkit.

“Jadi selepas perbincangan yang dibuat, kita bina jambatan Sejingkat ini menuju ke Samarahan ke Sebuyau, Gedong ke Simunjan dan terus ke Sibu dan Miri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Jambatan Sungai Sarawak, Sejingkat dan Jalan Utama Kedua Kuching-Samarahan di tapak projek di Sejingkat, semalam.

Abang Johari berkata, projek pembinaan jambatan tersebut telah diluluskan ketika pimpinan Allahyarham Ketua Menteri Pehin Sri Adenan Satem dan mantan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak namun dibatalkan di bawah kerajaan baharu Pakatan Harapan (PH).

Menurutnya, apabila projek ini dibatalkan, beliau mengatakan biarlah Sarawak mengambil alih projek tersebut.

“Untuk dapatkan duit negeri Sarawak, saya laksanakan cukai jualan minyak dan gas yang adalah hak orang Sarawak. Apabila kita bincang, kita kira-kira ia lebih daripada 20 peratus yang kita dapat daripada lima peratus cukai.

“Dalam tempoh tiga tahun sahaja sebanyak RM7 bilion dikutip daripada cukai lima peratus berkenaan. Jika harga pasaran minyak dan gas meningkat, kita juga akan mendapat manfaat dengan lebih banyak hasil yang dijana daripada cukai jualan lima peratus yang kita kenakan. Itu adalah niat kita.” Katanya.

Oleh JEAKQLEYN YACHO