Mercu tanda ikonik

MENYAKSIKAN… Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg (tengah) serta isteri Datin Patinggi Datuk Amar Juma’ani Tuanku Bujang serta tetamu kehormat lain menyaksikan penyalaan lampu Jambatan Satok selepas membuat simbolik perasmian. Foto PENERANGAN

KUCHING: Jambatan Gantung Satok akan memberi manfaat kepada pejalan kaki dari kawasan Satok ke pasar baharu di Medan Niaga Satok.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, Jambatan Gantung Satok yang baharu ini akan menjadi mercu tanda ikonik di bandar raya Kuching dan juga akan menjadi tarikan pelancong kerana nilai sejarah jambatan ini.  

Menurutnya, kawasan di antara Jambatan Darul Hana dan Jambatan Satok dan tebingan sungainya akan dinaik taraf.

“Sekarang ini kita buat di Kampung Lintang iaitu fasa satu dari Sungai Bedil, Kampung Lintang sampai ke Kampung Tupong dan fasa dua hingga ke Tupong Tengah. Kita akan membina tebingan seperti Tebingan Kuching, supaya dinaik taraf dan digantikan dengan lampu jalan sampai kawasan Tupong.

“Fasa ketiga tempatnya akan kita masukkan ke kawasan ini dan sebelahnya lagi kita akan menaik taraf juga dari dari kampung Nombor Tiga akan kita bina tebingan sungai sampai ke Satok untuk aktiviti berbasikal, bersenam dan berjalan.

“Bermakna antara Darul Hana hingga ke Jambatan Satok akan kita naik taraf dan kita cantikkan lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Jambatan Gantung Satok di Medan Niaga Satok, semalam.

Mengenai Jambatan Satok itu, Abang Johari berkata pembinaan jambatan Satok itu bermula ketika era Charles Brooke dan ia ditangguh disebabkan Rajah Charles Brooke sakit dan meninggal dunia pada 1917.

“Selepas itu, Rajah ketiga Charles Vyner Brooke meluluskan pembinaan jambatan gantung dan beliau telah mendapat perkhidmatan dari seorang arkitek terkemuka Eropah, A.S Lowe iaitu adik kepada C.P.Lowe.

“Dengan itu bermula pembinaanya pada 1920 dengan kos AS$52,000 dan siap sepenuhnya pada 1926 dan fungsi jambatan ini selain daripada menyeberang ialah membawa paip air daripada Matang ke bandaraya Kuching,” ujarnya.

Pada masa yang sama, Abang Johari turut mengucapkan terima kasih kepada agensi-agensi berkenaan yang terlibat dalam membangunkan semula jambatan tersebut.

“Terima kasih kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) yang telah bekerja keras dalam membangunkan semula jambatan ini serta Jabatan Muzium yang akan memberi latar belakang sejarah Satok dan lebih-lebih-lebih lagi kepada penduduk di kedua-dua belah sungai yang mempunyai jambatan ikonik di bandaraya Kuching ini,” katanya.

Turut hadir, Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam dan DBKU) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Menteri Muda Pembangunan Infrastruktur dan Pelabuhan Datuk Julaihi Narawi, Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Kanan Kerja Raya Dato Seri Fadillah Yusof, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Dato Sri Dr Sim Kui Hian.

Oleh JEAKQLEYN/RYNNA SHA’ERRA