MSC hidupkan sosioekonomi kawasan Sibu-Mukah

TERIMA KASIH… Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan menyerahkan surat kelulusan lot kepada salah se- orang penerima.

MUKAH: Projek Metading Service Centre (MSC) Mukah bakal menghidupkan kegiatan sosioekonomi di kawasan Jalan Sibu-Mukah.

Pelaksanaan projek MSC itu akan dibangunkan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Balingian, yang akan dibangunkan oleh Kerajaan Sarawak melalui Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA).

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, percaya ia boleh mentransformasikan kawasan tersebut dan turut menyatakan bahawa banyak perubahan telah berlaku di Mukah.

“Sebenarnya kawasan Parlimen Mukah yang merangkumi DUN Balingian, DUN Tellian dan DUN Dalat telah banyak berubah. Jika dibandingkan dengan keadaan semasa saya menjadi penjawat awam dan pemangku Pegawai Daerah di Dalat dahulu. Jadi, saya percaya projek ini akan menggiatkan lagi  aktiviti sosioekonomi di kawasan ini,” katanya.

Tengah yang juga Menteri Pembangunan Bandar & Sumber Asli II menyatakan kawasan tersebut telah mempunyai rangkaian jalan raya yang baik, dan malah terus ke Bintulu.

Beliau berkata demikian ketika lawatannya ke Tapak projek MSC di Medan Selera Metading dekat sini petang semalam.

Difahamkan MSC Mukah ini bakal dibangunkan sebagai pusat perkhidmatan berpusat yang menyediakan pelbagai jenis perkhidmatan dan kemudahan awam untuk masyarakat setempat khususnya di Daerah Mukah dan Balingian.

Lokasinya yang strategik membolehkan MSC ini berperanan sebagai kawasan Rehat dan Rawat (R&R) bagi pengguna jalan raya di antara Sibu-Mukah dan Bintulu-Balingian-Mukah.

Menyentuh mengenai pembangunan di kawasan Mukah dan Sarawak, ujarnya, kestabilan dan kekuatan sesebuah kerajaan itu amat penting.

“Justeru, saya percaya kawasan ini akan terus membangun selagi rakyat kita bersatu dan juga terus menyokong kerajaan. Saya tahu kawasan ini memang merupakan kawasan atau kubu kuat parti memerintah Sarawak sebelum ini hingga sekarang yang membolehkan kerajaan of the day untuk terus membangun kawasan,” katanya lagi.

Tambahnya, keadaan ketidakstabilan sesebuah kerajaan boleh membantutkan pembangunan yang dirancang oleh mana-mana kerajaan.

Sementara itu, menyentuh mengenai politik semasa, Tengah menganggap kemenangan besar Barisan Nasional pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka menunjukkan bahawa masyarakat menolak Pakatan Harapan (PH).

“Pilihan Raya Negeri Melaka telah menunjukkan PH tetap ditolak oleh masyarakat berikutan kegagalan mereka di peringkat Persekutuan dahulu. Kegagalan mereka juga menjurus kepada ketidakstabilan politik negara yang menyaksikan dalam satu penggal sahaja kita mempunyai tiga Perdana Menteri.

Dalam pada itu, Sarawak juga terkesan kerana beberapa projek Mega di negeri kita dibatalkan. Namun syukur kebijaksanaan Kerajaan Sarawak di bawah pimpinan Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg telah membolehkan kita memperolehi pendapatan atau revenue tambahan melalui pelaksanaan Cukai Jualan petroleum, dan membolehkan Sarawak untuk mengambil alih beberapa projek-projek yang dibatal itu,” katanya.

Dengan itu, Tengah menyaran penduduk tempatan untuk terus berdiri teguh di belakang Kerajaan Sarawak yang diterajui oleh Gabungan Parti Sarawak (GPS).

“Justeru, kita harus memberi mandat yang sebesar mungkin kepada kerajaan GPS untuk terus memerintah Sarawak demi untuk kesejahteraan dan kemakmuran penduduk dan Sarawak. Sepertimana yang kita sedia maklum hanya orang Sarawak yang mampu memimpin kita yang sentiasa hidup dalam harmoni, aman dan makmur walaupun terdiri daripada latar belakang yang pelbagai,” katanya lagi.

Pada majlis tersebut, Tengah juga menyerahkan surat kelulusan Lot Bagi SPK Baru Kuala Balingian, dan  SPK Sesok Baru.

Turut hadir Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Sabah Dan Sarawak Dato Hanifah Hajar Taib, Menteri Muda Pembangunan Usahawan dan Perusahaan Kecil dan Sederhana Datuk Mohd Naroden Majais, Timbalan Pengarah, JTS Sarawak Awang Zamhari Awang Mahmood, Residen Bahagian Mukah Hamdiah Bakir, Pemangku Setiausaha Tetap, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Industri Sayed Ismail Nasiruddin, Dato Sri Wan Hashim, Penyandang Kerusi DUN Balingian, Abdul Yakub Arbi, Penyandang Kerusi DUN Tellian Yussibnosh Balo, Pengurus Besar LCDA Monaliza Zaidel, Pegawai Daerah Mukah Shafrie Saili, dan Pemanca Mohamad@Mohd Jali Kawi.