Kerajaan sokong penuh industri maritim

PELANCARAN BUKU… Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan bersama Datuk Naroden Majais, Dr. Renco Yong serta yang lain menunjukkan isyarat bagus pada Majlis Pelancaran Buku Sarawak 2021 ‘Sarawak Maritime Industries: A Catalyst for Growth’ di sebuah hotel terkemuka di Sibu baru-baru ini.

SIBU: Sarawak terus menerima pelaburan asing hingga meletakkan negeri ini antara empat destinasi pelaburan teratas dalam Malaysia, meskipun pandemik Covid-19 melanda dunia, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Awang Tengah yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan berkata, Sarawak mampu menarik RM15.7 bilion pelaburan tahun lepas.

Jelas beliau, nilai pelaburan ini adalah kedua tertinggi di Malaysia selepas Selangor dan sejak beberapa tahun lalu.

“Pencapaian ini jelas menunjukkan tahap keyakinan tinggi pelabur, khususnya pelabur asing terhadap kepimpinan kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang diterajui Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis pelancaran Buku Sarawak 2021 “Sarawak Maritime Industries: A Catalyst for Growth” oleh Persatuan Industri Maritim Sarawak (SAMIN) di Hotel Kingwood, pada malam Sabtu.

Penerbitan buku berkenaan merupakan kerjasama antara Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan (Mintred) dan SAMIN.

Awang Tengah berkata lagi, dasar mesra perniagaan yang ditawarkan oleh Kerajaan Negeri telah membolehkan Sarawak menjadi antara destinasi pelaburan utama di negara ini.

Katanya lagi, keamanan dan kestabilan politik di negeri ini juga turut menjadi faktor penyumbang utama.

“Tiada pelabur asing akan datang untuk melabur sekiranya tiada keamanan dan kestabilan politik di negeri ini.

“Kami mampu menjana aliran pendapatan yang sihat untuk dibelanjakan untuk membangun infrastruktur seperti jalan raya dan jambatan, utiliti, pendidikan, Bantuan Khas Sarawakku Sayang, bantuan kebajikan, dan sebagainya untuk manfaat rakyat,” katanya.

Di samping itu, beliau berkata, Sarawak adalah satu-satunya negeri yang melabur dalam tiga universiti iaitu Universiti Teknologi Swinburne di Kuching, Universiti Curtin di Miri dan Universiti Teknologi Sarawak (UTS) di Sibu.

Beliau berkata, kerajaan pimpinan GPS mengetahui kepentingan pendidikan di peringkat universiti untuk rakyat di negeri ini.

“Kita mahu setiap rakyat Sarawak diberi peluang belajar di universiti sama ada dalam atau luar negara.

“Adalah penting untuk kita membangunkan modal insan kita supaya sentiasa ada kumpulan tenaga kerja yang berbakat dan berkemahiran untuk industri kita,” ujarnya.

Justeru, beliau percaya komuniti perniagaan di Sibu akan cukup bijak melihat apa yang telah dilakukan kerajaan GPS untuk rakyat dan komuniti perniagaan.

“Sokongan berterusan anda adalah penting untuk memastikan dasar kami dan Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 2030 dapat dilaksanakan tanpa sebarang gangguan,” tambahnya.

Pada majlis itu, beliau mengulangi sokongan penuh kerajaan Sarawak terhadap industri maritim dan mengucapkan tahniah kepada SAMIN atas kejayaan penerbitan Buku Sarawak 2021.

“Saya berharap Buku itu akan menjadi sumber rujukan yang sangat berguna mengenai industri maritim Sarawak,” katanya.

Oleh NURZILLA MOHAMAD