Pakan akan jadi new township

UCAPAN … Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg ketika merasmikan projek Jalan Pakan-Ulu Kota Pakan (Fasa 2).

KERAJAAN Gabungan Parti Sarawak (GPS) berjaya membuktikan bahawa segala janji bukan hanya ‘omong kosong’, malah parti itu terus memberikan komitmen penuh untuk pembangunan dan kebajikan rakyat di Sarawak.

Contoh terbaik yang jelas disaksikan rakyat ialah dengan pelbagai bentuk projek pembangunan dilaksanakan oleh Kerajaan Sarawak demi untuk memberikan manfaat kepada rakyat di setiap pelusuk negeri ini termasuk di kawasan bandar dan luar bandar.

Begitu juga di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pakan yang merupakan salah satu DUN terletak di Parlimen Julau, kini semakin pesat membangun.

Fenomena kerancakan proses pembangunan tersebut hasil daripada usaha kuat wakil rakyat GPS iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakan, Tan Sri William Mawan Ikom yang kerap turun padang sejak menjadi wakil rakyat di kawasan itu.

Ini ketara dengan adanya proses pembangunan yang sedang berlaku di DUN Pakan pada masa sekarang seperti pembinaan jalan raya, naik taraf kemudahan sukan, pendidikan, elektrik dan sebagainya.

Antaranya ialah projek Jalan Pakan-Ulu Kota Pakan (Fasa 2) bertaraf R3 Standard sepanjang 15.4 kilometer telah siap sepenuhnya pada 3 Disember 2019 dan sudah dibuka kepada orang awam.

Projek bernilai tinggi itu dengan peruntukan RM122.5 juta, membuka akses kepada lebih banyak peluang sosioekonomi bagi penduduk, terutama yang giat menjalankan aktitviti pertanian dan industri asas tani sebagai sumber pendapatan utama.

Antara skop lain projek ini termasukl jalan menuju ke Sekolah Kebangsaan (SK) Sembawang dan SK Nanga Dayu serta empat buah jambatan konkrit iaitu di Sungai Seguk, Sungai Litok, Sungai Dayu dan Sungai Kara.

Dengan adanya akses perhubungan darat di kawasan tersebut, ia telah membolehkan golongan petani dan pekebun kecil meningkatkan hasil jualan mereka dan seterusnya menikmati taraf hidup yang lebih baik.

Selain itu, pembangunan infrastruktur ini akan mendorong pembukaan lebih banyak kawasan untuk meransang aktiviti perdagangan perkembangan sektor-sektor lain di kawasan sekitarnya dan sekali gus merancakkan sosioekonomi penduduk setempat.

Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, Daerah Pakan akan dibangunkan menjadi bandar baru moden yang lengkap dengan kawasan perumahan, pusat komersil serta tempat riadah.

“Saya akan masukkan dalam pelan induk untuk membangunkan pekan Pakan. Pakan kita susun semula, pekan kita luaskan termasuk kedai-kedai dan kita buat dalam lingkungan 10 kilometer.

“Kita bangunkan bandar baru Pakan termasuk kawasan perumahan, kedai dan tempat riadah. Pakan akan jadi new township,” ujarnya.

Menurutnya, Kerajaan Sarawak juga bersetuju meneruskan fasa ketiga pembinaan Jalan Pakan-Ulu Kota Pakan bagi memastikan Pakan terus pesat membangun dengan dilengkapi kemudahan elektrik dan air.

“Penyambungan jalan tersebut perlu bagi meningkatkan potensi besar Pakan dalam sektor pertanian untuk dibangunkan menjadi kawasan ‘food basket’,” ujarnya lagi.